Musabaqah Al-Quran IPT Serantau
Nurasma, Mohammad Noor juara
Musabaqah Al-Quran IPT Serantau
Berita dan Gambar dipetik daripada Media Permata dan Brunei Times
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jan - Nurasma Bazilah Mohd Salleh dan Mohammad Noor Haji Ibrahim, kedua-duanya telah mengharumkan nama Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Negara Brunei Darussalam apabila muncul juara dalam Musabaqah Tilawah Al-Quran, Hafazan dan Tafsiran Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Serantau 1433H/2012 masing-masing dalam kategori Mahasiswi dan Mahasiswa.
Nurasma Bazilah muncul juara, manakala naib juara pula menjadi milik pelajar IPT Al-Zuhri, Singapura, Adawiyah Ahmad Din dan Dhohwa Fatra Durrotum yang mewakili Institut Agama Islam Negeri Sultan Amai, Gorontalo, Sulawesi, Indonesia pula menduduki tempat ketiga.
Mohammad Noor pula diumumkan juara meninggalkan naib juara, Sirajuddin Lahas yang mewakili Institut Agama Islam Negeri Sultan Amai, Gorontalo, Sulawesi, Indonesia dan pemenang tempat ketiga, Ahmad Naeim Mohd @ Mat Isa, mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia.
Musabaqah sempena 5 Tahun Penubuhan UNISSA itu sangat unik kerana memerlukan setiap pesertanya mahir dalam tiga perkara iaitu "tilawah Al-Quran" (membaca al-Quran secara tarannum) dengan membawakan 12 maqra yang telah ditentukan, "hafazan" dengan menghafal Surah Al-Baqarah dan "tafsiran" Surah Yasin mengikut Tafsir Ibn Kathir terjemahan Bahasa Melayu.
Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi Haji Osman sendiri mengakui keunikan musabaqah itu kerana menurutnya ia bukan saja dipertandingkan dari segi bacaan, malahan juga menguji kemampuan para peserta melalui hafalan dan tafsiran."Itu sudah tentu menuntut ilmu pengetahuan yang mendalam, komitmen, dedikasi serta semangat juang yang tinggi dari para peserta," tambahnya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Hadiah bagi Musabaqah berkenaan petang ini di Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Justeru kitab suci Allah itu bukan hanya untuk dibaca semata-mata, namun wajib juga difahami dan dihayati supaya ia dapat menjadi panduan serta boleh membimbing manusia untuk terus hidup di landasan yang betul di muka bumi ini, tambahnya.
Beliau bukan setakat memuji Musabaqah 3-Dalam-1 berkenaan tetapi turut mencadangkan supaya ia terus dianjurkan pada tahun-tahun akan datang, tetapi bukan saja di peringkat negara dan serantau, malah juga di peringkat antarabangsa.
Itu kerana menurutnya secara tidak langsung akan dapat membina dan merapatkan lagi hubungan ukhuwah di antara pusat-pusat pengajian tinggi tempatan dengan IPT luar negara.
Di akhir majlis, Yang Berhormat Pehin Menteri Pembangunan telah berkesudian untuk menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang termasuk hadiah sagu hati dan cenderahati kepada barisan jemaah hakim.
Seramai 8 mahasiswa dan 6 mahasiswi yang mewakili IPT dalam negeri dan Asia Tenggara telah menyertai Musabaqah berkenaan, dan telah memperdengarkan bacaan, hafazan dan tafsiran masing-masing kecuali seorang qariah yang menarik diri pada sesi pagi, di hadapan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom Pengiran Haji Bahar.
IPT tempatan yang menghantar wakil ialah UNISSA dengan 4 orang peserta, Universiti Brunei Darussalam (UBD) dengan seorang peserta dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) pula menghantar 2 orang wakil.
IPT Asia Tenggara yang ikut serta pula adalah setiap dua orang peserta dari IPT Al-Zuhri, Singapura, Universiti Sains Islam Malaysia dan Institut Agama Islam Negeri Sultan Amai, Gorontalo, Sulawesi, Indonesia, manakala Universiti Islam Yala, Thailand diwakili seorang peserta.
Musabaqah seumpamanya merupakan projek berkala kendalian UNISSA sebagai usahanya menjunjung Al-Quran pada tempat yang setinggi-tingginya, dan musabaqah kali ini merupakan kali yang ketiga.
Walau bagaimanapun terdapat perbezaan ketara antara ketiga-tiga musabaqah berkenaan kerana yang pertama pada 2008 sempena setahun penubuhan UNISSA hanya mempertandingkan tilawah al-Quran dan merupakan peringkat serantau.
Penganjuran kali kedua pula adalah pada 2010 sempena 3 tahun penubuhan UNISSA yang telah dikembangkan kepada Musabaqah Tilawah Al-Quran, Hafazan dan Tafsiran tetapi hanya menjemput penyertaan dari IPT dalam negeri saja.
Adapun antara objektif Musabaqah diadakan adalah sebagai salah satu cara berdakwah untuk mendalami ilmu al-Quran dari sudut bacaan, hafazan dan pemahaman isi kandungan melalui tafsirannya.