DUTA BESAR ISTIMEWA DAN MUTLAK THAILAND KE NEGARA BRUNEI DARUSSALAM MENYERAHKAN PERALATAN SUKAN KEPADA PELAJAR THAILAND DI UNISSA

Yang Mulia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor UNISSA dalam sesi bergambar ramai dengan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Negara Brunei Darussalam,

Bandar Seri Begawan, 14 November 2019:

Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) petang ini telah mengatur sesi perjumpaan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Wanthanee Viputwongsakul dengan pelajar-pelajar Thailand yang mengikuti pengajian di UNISSA.

 

Kunjungan Puan Yang Terutama telah disambut oleh Rektor UNISSA Yang Mulia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.

 

Perjumpaan ini adalah bertujuan untuk mengetahui lebih dekat perkembangan kemajuan pembelajaran dan seterusnya menyampaikan peralatan sukan kepada pelajar-pelajar Thailand di UNISSA.

 

Dalam sesi perjumpaan tersebut, Yang Mulia Rektor UNISSA menjelaskan bahawa ketika ini seramai (42) orang pelajar sepenuh masa dari Thailand, dengan (34) pelajar yang mengambil Ijazah Sarjana Muda, 4 dalam program Sarjana, serta 4 pelajar dalam bidang PhD. Di samping itu, sejak tahun 2013, UNISSA telah menganjurkan program pertukaran pelajar dengan penglibatan (24) orang pelajar dari Kolej Pengajian Islam, Prince of Songkla University dalam tempoh satu tahun akademik di UNISSA di mana mereka belajar mata pelajaran pengajian Islam, di samping Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab.

 

Ketika ini juga, UNISSA telah melantik seorang tenaga akademik dari Thailand selaku Pengarah Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban untuk membantu peningkatan kemajuan UNISSA khususnya dalam bidang penyelidikan halal.

 

Hubungan UNISSA dengan Institusi Pengajian Tinggi Thailand adalah begitu akrab dan sering melaksanakan kerjasama dalam menganjurkan beberapa persidangan dan seminar tahunan, termasuk Persidangan Antarabangsa mengenai Islam di Dunia Melayu (ICON-IMAD) dan Seminar Pengajian Tinggi Islam (SeIPTI).

 

Puan Yang Terutama dalam ucapannya amat berbesar hati terhadap penerimaan UNISSAkepada pelajar-pelajar Thailand dan berharap supaya pelajar-pelajar ini akan terus dapat menimba ilmu sehingga ke peringkat yang lebih tinggi lagi di UNISSA. Sumbangan peralatan sukan kepada pelajar-pelajar Thailand adalah sebagai tanda perihatin pihak kedutaan agar pelajar-pelajar Thailand di UNISSA akan terus bersemangat mengikut pengajian di UNISSA apatah lagi peperiksaan semester sudah semakin dekat.

 

Diakhir perjumpaan, PYT sempat beramahmesra dengan para pelajar Thailand disamping memberikan motivasi agar para pelajar menumpukan perhatian dan bersedia menghadapi peperiksaan yang akan datang.

 

Kunjungan PYT ini dihadiri sama oleh Puan Pratuangtip Sirivitaes, Minister Counsellor, Kedutaan Thailand dan Dr Arman bin Haji Asmad, Pemangku Timbalan Rektor UNISSA.

 

 

 

 

Yang Mulia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor UNISSA dalam sesi bergambar ramai dengan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Wanthanee Viputwongsakul dan Pelajar-Pelajar Thailand di UNISSA

 

 

PYT Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Negara Brunei Darussalam menyerahkan peralatan sukan kepada Pelajar Thailand di UNISSA

 

PYTDuta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Negara Brunei Darussalam menyerahkan peralatan sukan kepada Pelajar Thailand di UNISSA

Attachment