EMPAT BUAH INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI NUSANTARA ANJUR SEMINAR ICON IMAD IX

Krabi, Thailand – Persidangan Antarabangsa Islam Di Alam Melayu Kali Kesembilan (ICON IMAD IX) kali ini diadakan di Krabi Front Bay Resort, Krabi Thailand selama dua hari (19 – 21 Ogos 2019) dan diterajui oleh Kolej Pengajian Islam (College of Islamic Studies), Prince Songkla University, Pattani. ICON IMAD IX ini mengangkat tema “Institusi Pengajian Tinggi dan Pembangunan Tamadun Islam Dunia Melayu”. Sebanyak 49 kertas kerja dibentangkan oleh seramai 52 pengkaji dan penyelidik daripada universiti-universiti serantau, di mana 22 kertas kerja dalam bahasa Melayu dan 12 dalam bahasa Arab. Di samping 15 kertas kerja pula adalah dalam bahasa Inggeris. Dari segi sejarahnya ICON IMAD telah bermula di Bandung pada tahun 2011, ICON-IMAD II diadakan di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) pada 2012, begitulah berselang seli diadakan antara kedua buah universiti ini sehinggalah pada tahun 2015 ia diadakan di Prince Songkla University (PSU), Pattani, Thailand iaitu apabila PSU menjadi ahli ICON IMAD. Setelah itu pada tahun 2016 penganjuran diadakan di UNISSA, Brunei Darussalam apabila UNISSA turut bergabung dalam ICON IMAD pada tahun sebelumnya. Melalui empat buah universiti inilah ICON IMAD setelah itu diadakan secara bergilir saban tahun. Akhir-akhir ini ICON IMAD juga menjemput rakan strategik baru dari Filipina melalui pengajian Islam di Mindanao State University.

 

Penganjuran seminar yang berorientasikan penyelidikan ini amat bertepatan bagi mengangkat kedudukan Alam Melayu sebagai hab penyelidikan utama dalam kalangan sarjana Melayu sendiri yang diketengahkan ke mata dunia untuk perkongsian bersama. Pada masa yang sama memperkuatkan jaringan akademik dan penyelidikan semasa serta membuka lebih banyak ruang dan peluang kerjasama dari pelbagai aspek khususnya dalam penyelidikan antara negara-negara Nusantara.

 

Pada persidangan kali ini UNISSA diwakili oleh 12 orang pembentang yang membentangkan kertas-kertas kerja dalam tiga bahasa; iaitu bahasa Melayu, Arab dan Inggeris. Di samping berkongsi hasil penyelidikan dengan para penyelidik luar, persidangan ini juga menjadi platform untuk menjalin hubungan strategik bersama rakan-rakan daripada IPT luar dalam sama-sama memperkasa kebudayaan keilmuan yang akan membangun tamadun Islam di Dunia Melayu.

Pembentang Kertas Kerja Daripada Tenaga Akademik UNISSA

 

Peserta ICON IMAD IX DARIPADA 4 Institusi

Attachment