Hari Keusahawanan UNISSA meriah

keusahawan unissa1

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 April – Hari Keusahawanan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) yang diadakan selama dua hari hingga semalam telah mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Acara yang julung kalinya diadakan di Kampus UNISSA itu disertai oleh 60 usahawan yang menawarkan pelbagai aktiviti keusahawanan seperti jualan barangan, perkhidmatan, pameran dan permainan.

Dekan Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam UNISSA, Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani selaku Pengerusi Majlis dalam ucapannya sebelum ini berkata, jumlah penglibatan daripada kalangan pelajar dan kakitangan UNISSA juga amat menggalakkan iaitu 21 petak yang disediakan diusahakan oleh warga UNISSA sendiri.

Menurutnya, bilangan penglibatan warga UNISSA dalam Hari Keusahawanan UNISSA 2018 ini memberikan satu gambaran yang jelas tentang minat mereka dalam bidang keusahawanan.

Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar dan pasaran pekerjaan yang semakin kompetitif, Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam UNISSA sentiasa proaktif melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu bakal graduannya agar menjadi nadi utama dan penggerak yang mampu memacu ekonomi negara ke tahap yang mapan dan berdaya tahan, sekali gus membantu usaha pihak kerajaan dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

 

keusahawan unissa1

Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal ketika merasmikan Hari Keusahawanan UNISSA di Kampus UNISSA, Gadong.

keusahawan unissa2

Dr. Haji Norarfan dan Dr. Abdul Nasir ketika meninjau ke beberapa buah petak jualan yang menawarkan pelbagai bentuk aktiviti keusahawanan seperti jualan barangan, perkhidmatan, pameran dan permainan.

keusahawan unissa3

Antara mahasiswi UNISSA yang menyertai Hari Keusahawanan tersebut.

keusahawan4

Antara tarikan yang terdapat dalam acara Hari Keusahawanan UNISSA.

 

“Ia diharap dapat membantu mencapai hasrat kerajaan Negara Brunei Darussalam untuk menghasilkan graduan yang bukannya ‘job seeker’ tetapi sebagai ‘job creator’,” ujarnya.

Katanya lagi, antara inisiatif yang telah diungkayahkan oleh Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam UNISSA ialah menawarkan Kursus Projek Keusahawanan yang melibatkan kumpulan pelajar Tahun 4 Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam UNISSA untuk menghasilkan produk mereka sendiri dan menjalankan projek keusahawanan di lapangan selama 20 minggu.

“Di samping itu juga, mereka akan turut sama terlibat dalam pelbagai ekspo jualan di peringkat kebangsaan,” tambahnya.

Usaha yang dilakukan ini telah dapat melahirkan mahasiswa-mahasiswi yang kreatif dan inovatif dalam bidang perniagaan berpandukan ajaran Islam yang luhur.

Pendedahan seperti ini merupakan satu langkah proaktif Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam UNISSA untuk memberi keyakinan dan keberanian kepada mahasiswa-mahasiswi untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan sejurus menamatkan pengajian mereka nanti.

Usaha menggalakkan aktiviti keusahawanan tidak hanya terhad kepada mahasiswa-mahasiswi fakulti berkenaan, bahkan turut dilaratkan kepada seluruh kakitangan UNISSA.

Atas kesedaran ini, maka Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam menganjurkan Hari Keusahawanan UNISSA 2018 untuk memberi galakan, pencambahan idea dan pendedahan pengalaman yang praktikal kepada seluruh warga UNISSA dalam bidang keusahawanan.

 

Attachment

Related News