KULIAH KHAS KURSUS “MELAYU ISLAM BERAJA”

kursus MIB

Bandar Seri Begawan, 4 April: Siri Kuliah Khas Melayu Islam Beraja (MIB) anjuran Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah diadakan pada hari ini bertempat di Auditorium UNISSA, Gadong. Dengan tajuk “Sejarah Kedatangan Islam Di Negara Brunei Darussalam”, kuliah ini telah disampaikan oleh Yang Mulia Pengiran Dato Seri Setia Dr Hj Mohammad Bin Pg Hj Abdul Rahman.

Sebagai anak jati Brunei, mempelajari selok belok MIB itu dan mengetahuinya secara mendalam adalah perlu, khasnya mereka yang berada di institusi pengajian tinggi, tidak cukup hanya mengetahuinya setakat di permukaan sahaja, atau setakat luaran sahaja. Mengetahui sejarah kemasukan Islam ke Brunei Darussalam adalah sebahagian dari MIB. Kemasukan Islam ke Negara Brunei Darussalam yang mewujudkan MIB.

Yang Mulia Pengiran Dato Seri Setia Dr Hj Mohammad juga menjelaskan semenjak kemasukan Islam ke Brunei Darussalam lebih enam abad yang lalu, hingga ke hari ini kelihatan kesan-kesannya sangat hebat. Pertama sekali penghayatan Islam di Brunei sangat menonjol dari segi ibadah, dakwah Islamiah, budaya, seni, sosial, ekonomi, permakanan, pendidikan, perundangan, perlembagaan, perubatan, ketenteraan, patriotisme, dan sebagainya.

Kuliah Khas Melayu Islam Beraja itu telah dipengerusikan oleh Yang Mulia, Dr Shohibuddin bin Haji Laming. Kursus Melayu Islam Beraja adalah kursus yang ditawarkan kepada mahasiswa/i Tahun 1, UNISSA yang dikategorikan sebagai kursus Wajib Universiti. Dalam keberhasilan kursus MIB ini, mahasiswa/i diharap akan memahami konsep MIB dengan lebih dalam dan luas serta menjadikan MIB sebagai pegangan cara hidup dalam menghadapi gelombang moden dan arus globalisasi. Disamping itu juga menekankan agar para mahasiswa/I tidak lupa tentang sejarah dan perjuangan panjang dalam membumikan agama Islam di Negara Brunei Darussalam.

Hadir sama mendengarkan Kuliah Khas tersebut ialah Yang Mulia Dr Noorarfan bin Hj Zainal Rektor UNISSA, Yang Mulia Dr Hjh Masuriyati binti Hj Yahya, Pengarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa UNISSA dan para pegawai dan ahli akademik dari UNISSA.

kursus MIB

Yang Mulia Pengiran Dato Seri Setia Dr Hj Mohammad Bin Pg Hj Abdul Rahman ketika menyampaikan Kulia Khas MIB

Related News