KULIAH KHAS KURSUS “MELAYU ISLAM BERAJA” UNISSA

unissa2

Bandar Seri Begawan, Khamis, 18 April 2018: Sesi Kuliah Khas Melayu Islam Beraja (MIB) anjuran Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah diteruskan pada hari ini bertempat di Auditorium UNISSA.

MIB sebagai falsafah Negara Brunei Darussalam, ialah juga sebagai sejarah dan warisan kehidupan masyarakat Brunei yang beracuankan kepada nilai-nilai budaya Melayu, ajaran Islam dan sistem beraja. Nilai-nilai budaya Melayu, ajaran agama Islam dan juga sistem pemerintahan beraja yang menjadi warisan sejarah bangsa Brunei yang diamalkan sehingga ke hari ini hendaklah menjadi sumber kesejahteraan dan kemakmuran dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Perkara tersebut merupakan di antara intipati Kuliah Khas yang disampaikan oleh Yang Mulia, Dr. Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong, Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan, Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi MIB, di Kuliah/Aktiviti Ilmiah bagi Kursus MIB Universiti Sultan Sharif Ali (UNISSA) yang berlangsung di Dewan Jubli, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Gadong, Negara Brunei Darussalam.

Dr. Haji Muhammad Hadi juga memfokuskan tentang sejarah kewujudan Kesultanan Melayu Brunei secara rasminya setelah pengislaman Awang Alak Betatar yang menganuti Agama Islam pada tahun 1368 dan menjadi Sultan yang pertama di Negara Brunei Darussalam. Beliau menjelaskan bahawa warisan dan sejarah MIB adalah merupakan cara hidup masyarakat Brunei yang telah diwarisi dan diamalkan hingga ke hari ini sejak lebih dari 600 tahun yang lalu. Menurut beliau juga, sejarah kewujudan MIB itu boleh diperolehi dari catatan sejarah silam seperti catatan dari Dinasti Sung negeri China, artifak tempatan dan sejarah lisan atau manuskrip lama.

Kuliah Khas MIB bertajuk Negara Melayu Islam Beraja: Sejarah dan Kelangsungan, membicarakan mengenai kepentingan penyebaran dan pengukuhan Negara Melayu Islam yang Merdeka, Berdaulat dan Demokratik, untuk mencapai Wawasan 2035.

Dalam Kuliah Khas tersebut, Dr. Haji Muhammad Hadi juga menjelaskan bahawa sejarah warisan MIB itu adalah sumber kesejahteraan, kemakmuran dan perpaduan kehidupan bermasyarakat dan bernegara di Negara Brunei Darussalam. Ia tidak sepatutnya dilupakan, malahan ia seharusnya dijadikan amalan hidup bermasyarakat sehingga ke hari ani.

Kuliah Khas MIB itu telah dipengerusikan oleh Yang Mulia, Dr Shohibuddin bin Haji Laming. Kursus MIB adalah kursus yang ditawarkan kepada mahasiswa/i Tahun 1, UNISSA yang dikategorikan sebagai kursus Wajib Universiti. Dalam keberhasilan kursus MIB ini, mahasiswa/i diharap akan memahami konsep dan sejarah MIB dengan lebih dalam dan luas serta menjadikan MIB sebagai pegangan cara hidup dalam menghadapi arus globalisasi.

Hadir sama mendengarkan Kuliah Khas tersebut ialah Yang Mulia Ustazah Mariam binti Abdul Rahman, Timbalan Pengarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa UNISSA, Pegawai-Pegawai dan Kakitangan UNISSA.

 

unissa1

YANG MULIA, DR. HAJI MUHAMMAD HADI BIN MUHAMMAD MELAYONG, PEGAWAI TUGAS-TUGAS KHAS KANAN, PEJABAT SEKRETARIAT MAJLIS TERTINGGI MIB.

unissa2

YANG MULIA, DR. HAJI MUHAMMAD HADI BIN MUHAMMAD MELAYONG MENERIMA CENDERAHATI DARIPADA YANG MULIA USTAZAH MARIAM BINTI ABDUL RAHMAN, TIMBALAN PENGARAH PUSAT PENATARAN ILMU DAN BAHASA UNISSA.

Attachment

Related News