KULIAH KHAS MELAYU ISLAM BERAJA (MIB) “SIGNIFIKAN TITAH PEMASYHURAN KEMERDEKAAN”

MIB2

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 23 Januari. –  Melayu Islam Beraja (MIB) adalah falsafah negara dan teras kenegaraan, yang menjadi pegangan rakyat Brunei untuk terus memelihara dan mengekalkannya dari masa ke semasa.

 

Perkara tersebut merupakan antara intipati Kuliah Khas bertajuk “Signifikan Titah Pemasyhuran Kemerdekaan” disampaikan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman pada Kuliah Ilmiah Kursus MIB Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Sesi 2018/2019 (Semester 2) berlangsung di Dewan Auditorium, UNISSA, Gadong.

 

Yang Berhormat Pehin juga menjelaskan bahawa berkat kepimpinan pemerintahan beraja yang berkesan pada menaungi kepentingan rakyat dan negara, falsafah Negara Melayu Islam Beraja (MIB) di peringkat antarabangsa telah menempati dan menyandang dengan baik dan wajar posisi serta statusnya dalam keadaan aman tenteram dalam kalangan negara-negara dunia. Dengan kepimpinan yang berkesan itu nilai-nilai MIB diterapkan secara bijaksana dan betul demi merealisasikan tiga perkara aspirasi nasional dan azam politik yang diungkapkan dalam Watikah Pemasyhuran Kemerdekaan, iaitu sebagai negara MIB yang merdeka, berdaulat dan demokratik bersendikan ajaran-ajaran Islam menurut Ahli Sunnah Waljamaah.

 

Dalam Kuliah Khas tersebut, Yang Berhormat turut mengingatkan agar sejarah perjuangan mencapai kemerdekaan dihayati oleh generasi muda agar mereka benar-benar memahami asas dalam mempertahankan negara dengan konsep Melayu Islam Beraja yang telah lama mengekalkan pemerintahan beraja sampai sekarang selama lebih 1500 tahun.

 

Kuliah Khas MIB anjuran Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), UNISSA itu telah dipengerusikan oleh Pengarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa UNISSA, Yang Mulia Dr Adam bin Haji Jait

 

Kursus MIB adalah kursus yang ditawarkan kepada mahasiswa / mahasiswi Tahun 1, UNISSA yang dikategorikan sebagai Kursus Wajib Universiti.  Dalam keberhasilan Kursus MIB ini, mahasiswa / mahasiswi diharap akan memahami konsep MIB dengan lebih dalam dan luas serta  menjadikan MIB sebagai pegangan cara hidup dalam menghadapi gelombang moden dan arus globalisasi.

 

Hadir sama mendengarkan Kuliah Khas tersebut ialah Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang, Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr Hj Adanan bin Hj Besar, Pengarah Pusat Dakwah Islamiah, Awang Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh, Pegawai-Pegawai Utama UNISSA, Para Pensyarah dan Mahasiswa/Mahasiswi UNISSA.

 

 

 

Attachment

Related News