KUNJUNGAN HORMAT USTAZ ABDUL SOMAD KE UNISSA

Gambar Ramai bersama Ustaz Abdul Somad

Bandar Seri Begawan, 26 September 2019:-

 

Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) pagi ini telah menerima satu penghormatan dengan kunjungan Yang Terhormat Ustaz Abdul Somad seorang da’ie yang bukan sahaja dikenali di Indonesia malah juga di rantau ini termasuk Negara Brunei Darussalam.

 

Perjumpaan singkat ini telah diadakan di Bilik Senate, UNISSA.

 

Hadir mengalu-alukan kunjungan beliau ialah Yang Mulia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor UNISSA bersama Pegawai-Pegawai Eksekutif dan Pegawai-Pegawai Utama UNISSA.

 

YM Rektor mengucapkan berbanyak terima kasih atas kunjungan tersebut dan merupakan satu penghormatan yang tinggi daripada seorang ulama yang unggul. Kunjungan ini sudah tentu akan membawa berkah dan sebagai platform untuk perlaksanaan kegiatan bersama Ustaz Abd Somad di masa akan datang dalam menyuntik semangat kepada seluruh warga UNISSA.

 

Terima kasih juga ditujukan kepada pihak penganjur Yang Mulia Dayang Nur Khadijah binti Haji Ismail, usahawan tempatan yang telah memberi peluang kepada UNISSA untuk bersua muka dengan Yang Terhormat Ustaz Abdul Somad.

 

Dalam perjumpaan tersebut, YM Rektor menerangkan serba sedikit mengenai Program-program yang ditawarkan di UNISSA, Keramaian Penuntut dan pencapaian UNISSA dalam usianya yang baru menjangkau 14 tahun.

 

Dalam ucapan balas, Ustaz Abdul Somad menyatakan tentang perasaan  teruja berkunjung ke UNISSA apatah lagi nama UNISSA sering disebut dan mempunyai alumni di luar negara. Beliau mengakui bahawa sering menerima tawaran untuk berkunjung ke UNISSA sebelumnya akan tetapi disebabkan beberapa halangan maka kunjungan tersebut terpaksa ditangguhkan. Beliau juga merasa kagum dengan penubuhan Pusat Penyelidikan Mazhab Syafi’i yang terdapat di UNISSA yang mana ianya mengukuhkan lagi Pegangan Mazhab Syafi’i bukan hanya setakat di Brunei Darussalam malah juga akan berkembang ke dunia global. Beliau juga percaya UNISSA akan terus menjadi Kubu utama dalam mempertahankan kesucian agama Islam di serantau Nusantara ini.

 

Perjumpaan diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada Yang Terhormat Ustaz Abdul Somad.

Gambar Ramai bersama Ustaz Abdul Somad

Kemesraan antara Rektor UNISSA dan Ustaz Abdul Somad

 

Penyampaian Cenderahati kepada Tetamu Kehormat

 

Attachment