KUNJUNGAN UNIVERSITAS AIRLANGGA, SURABAYA INDONESIA KE UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI (UNISSA)

UNAIR1

Hari Isnin, 22 Januari 2018M

 

Bandar Seri Begawan: Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah memperkasakan hubungan kerjasama dengan adanya kunjungan daripada Universitas Airlangga (UNAIR), Surabaya Indonesia. Kunjungan ini membuktikan bahawa UNISSA telah menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa di bidang institusi pendidikan tinggi.

 

UNAIR adalah antara universiti yang tertua di kepulauan Indonesia iaitu telah berusia penubuhannya (64) enam puloh empat tahun. Universiti ini juga adalah sebuah institusi pendidikan yang berprestij dan mendapat tempat ke empat antara universiti yang terbaik di Indonesia. Di samping itu juga, universiti ini menawarkan biasiswa kepada pelajar antarabangsa yang mengikuti pengajian di universiti tersebut.

 

Kunjungan rombongan UNAIR, Indonesia ini diketuai oleh Yang Mulia, Profesor Dr Sri Iswati, Direktur Sekolah Pascasarjana dan diiringi oleh seramai (3) tiga orang tenaga akademik.

 

Rombongan ini telah dialu-alukan oleh Rektor UNISSA, Yang Mulia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal dan Timbalan Rektor UNISSA, Yang Mulia, Dr Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad.

 

Dalam sesi perjumpaan, Pengarah Pusat Perhubungan Awam dan Antarabangsa (PusPAA), Yang Mulia Awang Haji Sammali bin Haji Adam memberikan taklimat mengenai sejarah penubuhan UNISSA dan perkembangannya manakala Pengarah Pusat Pengajian Lepas Ijazah (PPLI), Yang Mulia Dr Hajah Sri Rahayu@Nurjanah binti Haji Dollah memberikan penerangan berhubungkait dengan Program yang ditawarkan bagi pelajar Lepas Ijazah (Post Graduate).

 

Tujuan utama kunjungan ini adalah untuk membuka ruang kerjasama strategik antara ke dua buah universiti khususnya dalam bidang penyelidikan, penganjuran seminar atau pertukaran pelajar. Persetujuan kerjasama antara PPLI, UNISSA dan Sekolah Pascasarjana UNAIR akan terlaksana dengan adanya penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) yang juga akan melibatkan Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam serta Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam.

 

Majlis diakhiri dengan sesi Kuliah Umum bagi pelajar Lepas Ijazah yang disampaikan oleh Tenaga Akademik UNAIR.

 

UNAIR1

Yang Mulia Rektor menerima Cenderahati daripada Ketua Rombongan Sekolah Pascasarjana Universitas Airlangga, Surabaya, Indonesia

  

Attachment

Related News