LAWATAN SAMBIL BELAJAR PELAJAR FAKULTI EKONOMI DAN KEWANGAN ISLAM, UNISSA KE LADANG CILI SYARIKAT ECO NADI AGROBIZ.

ECO NADI AGROBIZ

TUTONG, Ahad 6 Januari – Seramai 32 orang pelajar Tahun 3 dan 4 dari Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) yang dikendalikan oleh Persatuan Pelajar Ekonomi dan Kewangan Islam (iFESS) telah berpeluang mengadakan lawatan ke Ladang Cili Syarikat ECO Nadi Agrobiz yang terletak di kawasan Kemajuan Pertanian, Kampung Sinaut, Tutong. Juga hadir semasa lawatan tersebut ialah Pemangku Dekan FEKIm UNISSA, Dr Mohammad Zaki bin Haji Zaini dan pensyarah FEKIm UNISSA lainnya.

Syarikat ECO Nadi Agrobiz mula beroperasi sejak tahun 2014 yang diusahakan oleh Awang Haji Muhd.  Ayub bin Haji Suhaili. Beliau merupakan salah seorang pengusaha pertanian tempatan yang berjaya.

Awang Haji Ayub kemudiannya menerangkan serba sedikit mengenai pertanian dari perspektif Islam dan seterusnya menerangkan cara penanaman pokok cili menggunakan sistem fertigasi yang mudah dilakukan di kawasan luar rumah. Beliau juga membuat tunjuk ajar penanaman yang dimulakan dengan pemasangan sistem fertigasi dan kemudiannya memindah tanam anak pokok cili di atas batas. Para peserta kemudiannya dibawa menyaksikan cara membuat arang daripada sekam dan kayu / biomas yang digunakan untuk menanam anak pokok cili.

Dalam lawatan tersebut, beliau menyeru kepada belia muda yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian agar merebut peluang yang ada dan memulakan apa saja jenis tanaman walaupun bermula secara kecil-kecilan di rumah masing-masing. Dengan tekad dan azam yang kuat, penanaman secara kecil-kecilan ini akan semakin membesar sehingga mampu diusahakan ke tahap skala komersial.

 

Pemangku Dekan FEKIm UNISSA, Dr Mohammad Zaki bin Haji Zaini Awang Haji menyampaikan sijil penghargaan kepada Awang Muhd.  Ayub bin Haji Suhaili

 

 

Attachment

Related News