MAHASISWA MAHASISWI TAHUN 3 FAKULTI EKONOMI DAN KEWANGAN ISLAM, UNISSA MENGANJURKAN PROGRAM TUNAS HARAPAN 3 (PTH-3), 2018

tunas harapan 1

Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), baru-baru ini telah menganjurkan Program Tunas Harapan Kali Ke-3 (PTH-3) 2018, yang dikendalikan oleh Mahasiswa and Mahasiswi Tahun 3 Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm) UNISSA. Program kali ini diadakan sebanyak dua siri.

 

Siri pertama PTH-3 telah diadakan di Sekolah Menengah Berakas (SMB), Bandar Seri Begawan pada 13 Oktober 2018 yang mana para peserta program adalah terdiri daripada 60 orang penuntut Tahun 7. Seramai 43 orang mahasiswa dan mahasiswi Tahun 3 FEKIm UNISSA telah terlibat dalam program tersebut. PTH-3 siri pertama, 2018 telah dipengerusikan oleh Awang Muhammad Ainul Firdaus bin Abd Rahman, mahasiswa Tahun 3, Program Ijazah Sarjana Muda Sains Kewangan Islam FEKIm UNISSA.

 

Acara tersebut dimulakan seawal jam 7.30 pagi dan berakhir pada jam 11.00 pagi yang bertemakan “Generasi Celik Kewangan”. PTH-3 telah diisikan dengan pelbagai bentuk aktiviti kepimpinan dan pembangunan modal insan yang disuntik dengan aspek pendidikan berteraskan akhlak dan nilai Islam serta pendedahan tentang kewangan Islam secara berkumpulan. Menerusi aktiviti tersebut ianya telah dapat memupuk semangat patriotik, setiakawan, kerjasama, tolong-menolong, kreatif dan bertanggungjawab menyumbang bakti kepada agama, raja, bangsa dan tanah air serta memberi kesedaran tentang kepentingan mengurus kewangan dalam kehidupan seharian.

 

Hadir selaku tetamu kehormat Majlis di Majlis Penutup ialah Yang Mulia Cikgu Alexandar bin Bandang, Pengetua Sekolah Menengah Berakas. Juga hadir pada majlis tersebut ialah Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, Dekan FEKIm UNISSA, selaku Penasihat PTH-3, 2018 dan para pensyarah FEKIm UNISSA serta guru-guru Sekolah Menengah Berakas.

 

Acara penutup diisikan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pengerusi PTH-3, 2018 dan penyerahan cenderahati kepada SMB sebagai tanda penghargaan atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan PTH-3, 2018.

 

Manakala, PTH-3 siri kedua telah sempurna diadakan di Kompleks Rumah Kebajikan, JAPEM pada 20hb Oktober 2018. Program ini melibatkan  6 orang peserta daripada penghuni kompleks bekenaan dan seramai 10 orang mahasiswa Tahun 3 FEKIm UNISSA sebagai fasilitator. PTH-3 siri kedua ini telah  dipengerusikan oleh Ak Muhammad Farid bin Pg Yahya, mahasiswa Tahun 3, Program Ijazah Sarjana Muda Sains Kewangan Islam FEKIm UNISSA.

 

Acara tersebut dimulakan jam 2.30 petang dan berakhir pada jam 4.30 petang  di mana program telah diisikan dengan aktiviti sesi suai kenal bersama fasilitator, aktiviti kerohanian dan pembangunan modal insan. Sebuah tazkirah ringkas juga telah disampaikan oleh Pensyarah FEKIm UNISSA, Yang Mulia Dr Kamarusalam bin Yusuf. Inti tazkirah ialah memberi kesedaran kepada para peserta betapa pentingnya menta’ati ibu bapa dan membina keluarga yang harmoni dan bahagia sebagai jalan menuju kebaikan di dunia dan akhirat.

 

Hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Penutup ialah Yang Mulia, Dayang Noryani binti Haji Abdul Rani, Penolong Pengarah Kebajikan, Kompleks Rumah Kebajikan, JAPEM. Juga hadir pada majlis tersebut para pensyarah FEKIm UNISSA serta pegawai dan kakitangan Kompleks Rumah Kebajikan JAPEM. Majlis Penutup dimulai dengan ucapan alu-aluan daripada pengerusi PTH-3 siri kedua dan diakhiri dengan penyerahan cenderahati kepada tetamu kehormat sebagai tanda penghargaan atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan PTH-3 kali ini.

 

Penglibatan mahasiswa dalam khidmat sukarelawan ini secara langsung dihasratkan akan dapat melahirkan pelajar yang tahu akan nilai tanggungjawab dan rasa perihatin kepada masyarakat yang memerlukan bantuan khususnya dari segi bimbingan agama. Ianya juga penting dalam memberikan impak terbaik daripada aspek pembentukan personaliti, keperibadian, jati diri, nilai, kepercayaan serta motivasi dan menjadikan mahasiswa sebagai contoh terbaik kepada peserta.

 

Program Tunas Harapan kali ke-3 ini diharap telah dapat mengasah bakat dan kemahiran mahasiswa dan mahasiswi UNISSA untuk menjadi pelapis generasi muda yang memahami nilai tanggungjawab dan menabur bakti kepada bangsa, negara dan tanah air. Dalam masa yang sama, para mahasiswa juga dapat mempraktikkan ilmu dan kemahiran yang diperolehi dari bilik-bilik kuliah dengan merancang, mengurus, dan mengatur suatu aktiviti di samping berkongsi pengetahuan dan pengalaman berguna dengan masyarkat luar dengan menerapkan nilai-nilai murni dan etika Islam.

 

Para mahasiswa Tahun 3 FEKIm sebagai fasilitator bersama Tetamu Kehormat Yang Mulia Dayang Noryani binti Haji Abdul Rani, Penolong Pengarah Kebajikan Kompleks Rumah Kebajikan, JAPEM, pegawai dan kakitangan Kompleks Rumah Kebajikan di Kompleks Rumah Kebajikan, JAPEM.

 

Dekan FEKIm UNISSA Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani menyampaikan cenderahati kepada Pengetua Sekolah Menengah Berakas, Yang Mulia Cikgu Alexandar bin Bandang.  

 

Sesi bergambar ramai bersama peserta PTH-3 Siri pertama di Sekolah Menengah Berakas.

 

Antara aktiviti pengenalan yang dijalankan.

 

Antara aktiviti pengenalan yang dijalankan.

 

Pelajar tahun 3, FEKIm UNISSA bergambar ramai bersama penuntut penuntut tahun 7, Sekolah Menengah Berakas.

 

Antara aktiviti pengenalan yang dijalankan.

Attachment

Related News