MAJLIS PEMBUKAAN PROGRAM PEMBANGUNAN EKSEKUTIF BAGI PEGAWAI-PEGAWAI PENGURUSAN PERTENGAHAN (EDPMMO) KALI KE-28

MAJLIS PEMBUKAAN
PROGRAM PEMBANGUNAN EKSEKUTIF BAGI PEGAWAI-PEGAWAI PENGURUSAN PERTENGAHAN (EDPMMO) KALI KE-28
03 Muharram 1441H / 03 September 2019M
Auditorium, Universiti Islam Sultan Sharif Ali
Bandar Seri Begawan, 3 September – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mengadakan Majlis Pembukaan Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-Pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) kali ke-28, 2019.
Tetamu Kehormat majlis pembukaan ini ialah Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dr. Norfarizal bin Othman. Turut hadir ialah Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Ketua-Ketua Jabatan dan Pegawai-Pegawai Kanan, pegawai-pegawai utama UNISSA, Jabatan Perkhidmatan Awam serta peserta EDPMMO.
Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah oleh Yang Mulia Ustaz Haji Mohd Ali Taufiq bin Haji Abdul Rahman, Pegawai Ugama I-Ready. Ucapan alu-aluan disampaikan oleh Yang Mulia Dr Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Timbalan Rektor UNISSA dan seterusnya diikuti dengan ucapan daripada Tetamu Kehormat Yang Mulia Dr Norfarizal bin Othman, Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.
Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-Pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) ini merupakan program latihan dan pembangunan yang inovatif untuk pegawai-pegawai pengurusan pertengahan dalam perkhidmatan awam. EDPMMO kali ke-28 ini akan berjalan selama tiga (3) bulan dengan kerjasama pihak UNISSA yang buat julung kalinya telah diberikan tanggungjawab untuk menyediakan dan melaksanakan program ini selaras dengan Model Civil Service Leadership Pipeline (CSLP). Sebanyak 30 orang pegawai kerajaan telah di pilih untuk menyertai program ini. Antara objektif program ini adalah seperti berikut:
1) Membangunkan ciri-ciri kepimpinan dalam kalangan para peserta untuk membantu meningkatkan hala tuju organisasi.
2) Membangunkan keupayaan untuk bekerja secara berpasukan dan berkumpulan, sekaligus menanamkan sifat saling menyokong di antara satu dengan yang lain.
3) Membangunkan kemahiran efektif dalam mendengar aktif dan bersikap empati.
4) Membangunkan kesedaran dan keupayaan bersosial, untuk menjadikan para peserta ahli masyarakat yang efektif dan aktif.
5) Meningkatkan rasa kesetiaan dan kecintaan kepada negara dan kerajaan.
6) Meningkatkan pemahaman tentang tujuan penciptaan manusia dan mematuhi ajaran Islam.
Pelbagai modul yang mencakupi pelbagai spektrum pembangunan ditawarkan, yang meliputi bidang-bidang seperti Strategik, Kualiti dan Penambahan Nilai Pengurusan, Ekonomi dan Kewangan Islam, Undang-undang Syariah, Sejarah & Tamadun, Rangkaian, Pengurusan Pembangunan Islam, Perdagangan Dunia, Teknologi dan Pemasaran.



