MAJLIS PENANDATANGANAN MEMORANDUM PERSEFAHAMAN ANTARA UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI (UNISSA) DENGAN SEKOLAH TINGGI EKONOMI ISLAM (STEI) TAZKIA, INDONESIA / (Tazkia University College of Islamic Economics)

MOU unissa STEI

Hari Rabu, 3 Jamadilawal 1440H / 9 Januari 2019M

 

Bandar Seri Begawan: Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) hari ini telah menerima kunjungan daripada Sekolah Tinggi Ekonomi Islam (STEI) Tazkia, Indonesia diteruskan dengan penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU).

 

Menandatangani bagi pihak UNISSA ialah Yang Mulia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor UNISSA, manakala bagi pihak STEI Tazkia pula ditandatangani oleh Rektor Institusi berkenaan, Yang Terhormat, Dr Murniati Mukhlisin.

 

Sebelum upacara penandatanganan MoU, rombongan terlebih dulu mendengar ucapan alu-aluan YM Rektor UNISSA.

 

YM Rektor amat berbesar hati dengan kunjungan rombongan seramai 6 orang dari STEI Tazkia, Indonesia dan amat berharap penandatanganan MoU ini adalah langkah berkesan untuk menghubungkan jalinan kerjasama dalam bidang pendidikan khususnya dalam bidang kepakaran yang ada antara ke dua universiti. Program-program pertukaran pelajar, lawatan dan pengabdian kepada masyarakat perlu dirancang dengan rapi agar matlamat sesebuah universiti itu akan tercapai dan terlaksana.

 

UNISSA mengalu-alukan idea dan sumbangan institusi luar negara dalam membina jalinan strategik untuk sama-sama memberikan didikan ke arah kesempurnaan pelajar demi membangunkan ummat dan negara.

 

Dalam ucapan balas, Yang Terhormat, Dr Murniati Mukhlisin  selaku Ketua rombongan menjelaskan bahawa kunjungan ke UNISSA adalah dalam rangka untuk bekerjasama dalam mengadakan apa jua bentuk aktiviti terutama yang berhubungkait dengan ekonomi Islam.

 

STEI Tazkia adalah sebuah lembaga pendidikan ekonomi dan bisnes Islam yang pertama di Indonesia. STEI Tazkia meyakini bahwa hanya sistem ekonomi yang dipandu oleh hukum-hukum dan ketentuan-ketentuan Allah yang mampu mensejahterakan masyarakat secara adil.  Sesuai dengan namanya yaitu Tazkia (Tazkiyyah), STEI Tazkia berusaha mendorong perekonomian umat untuk tumbuh (growth) secara bersih (purification). Upaya ini dilakukan melalui inovasi-inovasi yang produktif, efektif, dan efisien diiringi dengan upaya menyuburkan zakat dan sedekah sehingga membuahkan hasil yang berlipat ganda  untuk kesejahteraan  masyarakat.

 

Gabungan antara UNISSA dan STEI Tazkia selepas penandatanganan MoU diharap akan dapat mengukuhkan lagi usaha dalam mendidik dan menghasilkan generasi muslim yang memiliki kompetensi dan komitmen dalam ekonomi Islam.

 

Hadir menyaksikan penandatangan MOU tersebut adalah Yang Mulia, Bapak Arko Hananto Budiadi, Deputy Chief of Mission/Minister, Kedutaan Besar Republik Indonesia di Negara Brunei Darussalam dan Pemangku Timbalan Rektor UNISSA, Yang Mulia Dr Arman bin Haji Asmad.

 

 

 

Related News