MAJLIS SAMBUTAN AWAL TAHUN HIJRAH BAGI TAHUN 1441H UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI

Yang Mulia Rektor UNISSA menyampaikan cenderahati kepada Ahli Panel Forum

Sabtu, 14 Muharram 1441H bersamaan 14 September 2019M

2.00 petang

Dewan Auditorium, Universiti Islam Sultan Sharif Ali

 

Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar mengadakan Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah bagi tahun 1441H/2019M pada hari Sabtu, 14 Muharram 1441H bersamaan 14 September 2019M, jam 2.00 petang, bertempat di Dewan Auditorium, Universiti Islam Sultan Sharif Ali.

 

Tujuan Majlis tersebut diadakan adalah bagi memperingati peristiwa agung penghijrahan Baginda Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wassallam dari Kota Mekah Al-Mukarramah ke Kota Madinah Al-Munawwarah.

 

Hadir selaku tetamu kehormat majlis; Yang Mulia Dr Haji Norarfan Bin Haji Zainal, Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali. Majlis turut dihadiri oleh para Pegawai Utama, Tenaga Akademik, Pegawai dan Kakitangan, serta mahasiswa/i UNISSA.

 

Bagi memohon keberkatan Majlis, acara dimulakan dengan bacaan surah al-Fatihah dan Doa Selamat. Seterusnya majlis disemarakkan dengan sebuah forum yang bertemakan; Rezeki Halal Mengundang Rahmat Negara Berkat.

 

Forum disampaikan oleh Pelajar Program Sarjana Muda Sains Halal, Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, Ak Mohammad Nur Ajrun’azhim Bin Pg Julkifli (Panel Pertama), Pelajar Program Sarjana Muda Sains Kewangan Islam, Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam, Muhammad Hanafi Bin Rosli (Panel Kedua) dan Pelajar Program Sarjana Muda Sains Kewangan Islam, Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam, Awangku Ahmad Waaiz Bin Pengiran Haji Samsudin (Moderator).

 

Antara intipati yang dapat diambil dari Forum berkenaan adalah bahawa kunci kemakmuran sesebuah negara tertumpu kepada penduduknya yang bertakwa. Andai penduduk suatu negara beriman dan bertakwa iaitu; dengan mementingkan dan mengamalkan sumber rezeki yang halal, pastilah Allah akan melimpahkan kepada mereka rahmat dari langit dan bumi, dibukakan pintu rezeki seluas-luasnya yang arah datangnya tidak terduga, lagi membawa berkat.

 

Majlis kemudiannya diserikan dengan persembahan tausyeh oleh mahasiswa-mahasiswa UNISSA dan disusuli dengan penyampaian sijil dan cenderahati oleh tetamu kehormat majlis kepada para peserta Forum.

 

Ahli Panel dan Moderator Forum

 

 

Yang Mulia Rektor UNISSA menyampaikan cenderahati kepada Ahli Panel Forum

Attachment