MAJLIS SAMBUTAN ISRAK DAN MIKRAJ UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI (UNISSA)

israkmikraj3

Hari/Tarikh :

Khamis, 26hb April 2018M bersamaan dengan 10 Syaaban 1439H

 Tempat : Surau Al Syafi’i, UNISSA

Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar telah mengadakan majlis Sambutan Israk dan Mikraj pada pagi ini bertempat di Surau Al Syafi’i UNISSA.

 

Majlis tersebut didahului dengan bacaan khatam al-Quran beramai-ramai bagi Wargakerja UNISSA yang diketuai oleh Yang Mulia, Haji Mohammad Ali Taufiq bin Haji Abdul Rahman, Pegawai Keugamaan UNISSA dan diteruskan dengan bacaan tahlil.

 

Hadir selaku tetamu kehormat majlis tersebut ialah Yang Mulia Dr Haji Norarfan Bin Haji Zainal, Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali.

 

Majlis Sambutan Israk dan Mikraj diserikan lagi dengan forum khas yang disampaikan oleh pelajar-pelajar lepasan ijazah UNISSA, iaitu Nur Muhammad Firdaus bin Abu Bakar, mahasiswa Program Phd Sejarah & Tamadun Islam, serta pelajar antarabangsa; Aman Chehama, mahasiswa  Program Phd Bahasa Arab dari Pattani, Thailand dan Danang Kuncoro Wicaksono, mahasiswa Program Sarjana Pusat Penyelidikan Mazhab Syafi’i dari Indonesia. Forum tersebut telah dipengerusikan oleh Awang Hafini bin Mahmud,  mahasiswa Program Phd Pusat Penyelidikan Mazhab Syafi’i.

 

Forum tersebut mengupas kisah perjalanan Rasulullah Shallahu ‘alaihi wasallam dari Masjid al-Haram di Mekah menuju Masjid al-Aqsa di Palestin dalam waktu yang singkat dan seterusnya ke Sidratul Muntaha bagi menerima pensyariatan sembahyang fardu lima waktu.

 

Pensyariatan sembahyang yang diterima dalam peristiwa ini menunjukkan keistimewaan dan kepentingan ibadah sembahyang fardu lima waktu itu sebagai amalan yang mengangkat darjat manusia.

 

Bertepatan dengan tema sambutan Israk dan Mikraj peringkat Negara tahun ini iaitu Sembahyang Berjemaah Meraih Berkat, forum juga menekankan kepentingan sembahyang berjemaah sebagai wadah memupuk semangat perpaduan di kalangan umat Islam. Oleh itu, institusi masjid menjadi platform untuk menangani masalah sosial dan kemasyarakatan melalui sembahyang berjemaah pada setiap  waktu.

 

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Timbalan Rektor UNISSA Yang Mulia, Dr Haji Mohd Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Pegawai-Pegawai Utama, Para Pensyarah serta Pegawai-Pegawai dan kakitangan UNISSA.

 

israkmikraj1

Ahli Panel Forum Khas Sambutan Israk dan Mikraj UNISSA 1439H/2018M

israkmikraj2

Yang Mulia Dr Haji Norarfan Bin Haji Zainal, Rektor Universiti Islam Sultan Sharif selaku Tetamu Kehormat Sambutan Israk dan Mikraj UNISSA 1439H/2018M

Ahli Panel Forum Khas Sambutan Israk dan Mikraj UNISSA 1439H/2018M

Attachment