MAJLIS SAMBUTAN NUZUL AL-QUR’AN, KHATAM AL-QUR’AN, PENYAMPAIAN DERMA DAN IFTAR JAMA’IE UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI(UNISSA)

Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar telah mengadakan Majlis Khatam Al-Qur’an bersempena dengan Sambutan Nuzul Al-Quran dan diteruskan dengan Penyampaian Derma Kepada Anak-Anak Yatim Dan Iftar Jama’ie (majlis berbuka).

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Rektor UNISSA, Yang Mulia, Dr Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad dan seterusnya mengepalai bacaan Surah al-Fatihah.

Majlis khatam al-Quran ini adalah kesinambungan daripada majlis Tadarus al-Quran yang telah berjalan sepanjang bulan Ramadhan selepas sembahyang Fardhu Zhuhur melibatkan para pensyarah, pegawai dan kakitangan serta pelajar UNISSA.

Majlis diteruskan dengan penyampaian derma kepada 34 orang anak-anak yatim dan pelajar kurang berkemampuan yang disampaikan oleh Tetamu Kehormat Majlis.

Derma tersebut adalah hasil sumbangan daripada pegawai-pegawai dan kakitangan serta pensyarah termasuk pelajar UNISSA dan juga daripada jualan amal pelajar UNISSA.

Majlis turut diserikan dengan tazkirah khas bertajuk ‘Amalan di sepuluh malam terakhir bulan Ramadan’ yang disampaikan oleh Mahasiswa Program Diploma Kebangsaan Tertinggi Sistem Keadilan Jenayah Syariah, Awang Mohammad Najiihuddin bin Nooralizam.

Antara perkara yang disentuh dalam tazkirah itu ialah mengenai keistimewaan sepuluh malam terakhir bulan Ramadan serta amalan yang mudah dikerjakan akan dilipat gandakan ganjaran pahalanya jika bertepatan dengan Lail al-Qadr.

Antara tujuan majlis diadakan adalah untuk memberi dorongan kepada warga UNISSA untuk melazimkan pembacaan Al-Quran dan mentadabburkan isi kandungan Al-Quran, di samping meraih ganjaran pahala di bulan ini.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Penolong Rektor UNISSA, Dr Arman bin Haji Asmad, pegawai-pegawai utama, para pegawai dan kakitangan serta pensyarah dan mahasiswa-mahasiswi UNISSA.

Majlis diakhiri dengan acara berbuka puasa dan sembahyang fardu Maghrib berjemaah.

Pemangku Rektor UNISSA, Yang Mulia, Dr Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad mengepalai bacaan Surah al-Fatihah.

Penyampaian Sumbangan Derma kepada Salah Seorang Penerima Anak Yatim

Awang Mohammad Najiihuddin bin Nooralizam

Attachment