Pelajar Pascasiswazah Program Mobiliti (Outbound) Berlepas Ke Malaysia

Pelajar di ruang perlepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei

Seramai lima pelajar pascasiswazah Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban (PPHT), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) berlepas ke Malaysia bagi Program Mobiliti Pascasiswazah (Outbound) di Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH), Universiti Putra Malaysia (UPM), sebagai universiti penyelidikan tersohor di Malaysia, selama 14 hari bermula pada 30 September 2019. Rombongan terdiri daripada seorang pelajar pascasiswazah daripada program Falsafah Kedoktoran Sains Halal (Pengurusan Halal), dua orang pelajar pascasiswazah daripada program Sarjana Sains Halal (Pengurusan Halal) dan dua orang pelajar pascasiswazah daripada Sarjana Sains Halal (Undang-Undang Halal). Rombongan tersebut telah diketuai oleh pelajar pascasiswazah, Nor Surilawana binti Haji Sulaiman, yang juga merupakan Felo Penyelidik di PPHT, UNISSA.

 

Sehubungan itu, Majlis Doa Selamat telah diadakan pada 28hb September 2019 di PPHT bagi meraikan pelajar pascasiswazah yang mengikuti program ini.

 

Hadir bagi mengucapkan selamat belayar kepada rombongan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Pengarah PPHT, Profesor Madya Dr Nurdeng Deuraseh.

 

Program Mobiliti Pascasiswazah (Outbound) ini merupakan program jaringan antara UNISSA dan UPM yang sedia terjalin sejak beberapa tahun yang lalu. Antara aktiviti yang akan dilaksanakan adalah kuliah umum oleh para pensyarah UPM dan yang dijemput khas oleh IPPH, UPM, dan pembentangan oleh pelajar pascasiswazah PPHT, menghadiri Nasyratul Quran di Putrajaya serta beriadah di Bukit Puchong. Di samping itu, pelajar juga didedahkan dengan metod penyelidikan yang bermutu tinggi.

 

Rombongan juga akan turut melawat makmal laboratori IPPH dan sekitar kampus bagi memahami cara pembelajaran dan kehidupan mahasiswa/i di UPM. Program mobiliti pelajar ini diharapkan dapat membantu pelajar untuk berfikir di luar kotak dalam mempelajari budaya dan sejarah masyarakat di Malaysia dengan lebih dekat lagi di samping menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman.

 

Majlis Doa Selamat yang diadakan di Bilik Perbincangan, Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban

 

Pelajar di ruang perlepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei

Attachment