Pelajar Pascasiswazah Program The Japan Student Services Organization (JASSO) Berlepas Ke Jepun

Pelajar di ruang perlepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bersama Pengarah dan Ketua Program (Pascasiswazah), Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, UNISSA

Seorang pelajar pascasiswazah Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban (PPHT), telah berlepas ke Jepun bagi mengikuti  program  Japan Student Services Organization (JASSO) di Osaka University. Pelajar yang mengambil program Sarjana Sains Halal (Undang-Undang Halal) iaitu Dayang Nurhamizah binti Ibrahim, akan berada di Osaka University, Jepun bermula pada 1 Oktober 2019 sehingga 18 Disember 2019.

 

Hadir bagi mengucapkan selamat belayar kepada pelajar di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ialah Profesor Madya Dr Nurdeng Deuraseh, Pengarah PPHT, UNISSA dan Dr Zeiad Amjad Abdulrazzak Aghwan, Ketua Program (Pascasiswazah), PPHT, UNISSA.

 

Program JASSO ini merupakan SDG co-creation student exchange program iaitu program pertukaran pelajar secara interaktif yang dihoskan oleh Osaka University. Para peserta program ini akan didedahkan dengan aktiviti lawatan penyelidikan ke syarikat-syarikat tempatan dan badan-badan halal yang bukan berasaskan keuntungan (NPO) seperti Japan Halal Association dan Nippon Express di sekitar Osaka dan Tokyo, Jepun. Program ini diharapkan dapat mempertingkatkan lagi kualiti pengajian pelajar sehingga mampu menghasilkan penyelidikan yang bermutu tinggi serta mempelajari budaya dan sejarah masyarakat di Jepun dengan lebih dekat lagi di samping menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman.

 

Satu majlis Doa Selamat telah diadakan pada 28hb September 2019 di Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban bagi meraikan pelajar tersebut yang di hadiri oleh Pengarah PPHT, Ketua Program (Pascasiswazah), pegawai dan kakitangan serta pelajar sarjana PPHT.

 

Pelajar di ruang perlepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bersama Pengarah dan Ketua Program (Pascasiswazah), Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, UNISSA

 

Majlis Doa Selamat yang diadakan di Bilik Perbincangan, Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban