PENDIDIKAN AGAMA RAPUH MELAHIRKAN BANGSA YANG LEMAH – Rektor UNISSA

Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dalam pembentangan kertaskerja

Jakarta, Indonesia 10 Oktober: Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Banginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa mengambil perhatian berat terhadap perkembangan dan pengukuhan pendidikan Islam disegenap peringkat tahap pendidikan di Negara Brunei Darussalam atas kesedaran bahawa pendidikan agama merupakan teras kepada pembangunan ummah dan negara. Perkara ini dikongsikan oleh Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dalam pembentangan kertaskerja beliau bertajuk “Pemerkasaan Pendidikan Islam di Negara Brunei Darussalam” (Empowerment of Islamic Education in Brunei Darussalam) semasa menjadi narasumber mewakili Negara Brunei Darussalam dalam Persidangan Antarabangsa Mengenai Agama dan Pendidikan Kali Pertama (1st International Conference on Religion and Education) anjuran Kementerian Agama Indonesia baru-baru ini.

 

Dr Haji Norarfan seterusnya menjelaskan bahawa pendidikan agama sewajarnya diperkasa dari semasa ke semasa mengikut perkembangan dan peredaran semasa kerana pendidikan agama yang rapuh akan melahirkan bangsa yang lemah dan mudah terjerumus ke arah pemikiran yang ekstrim serta mudah menerima anasir-anasir yang tidak sihat yang boleh menjejaskan keharmonian beragama dan bernegara. Negara Brunei Darussalam sangat bertuah mempunyai seorang raja yang sangat prihatin terhadap perkembangan pendidikan agama sehingga perkembangannya dapat disaksikan dengan pertumbuhan sekolah-sekolah rendah agama dengan struktur pendidikan agamanya yang bersistematik, sekolah-sekolah Arab, Institut Tahfiz al-Qur’an Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Kolej Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

 

Persidangan yang diadakan di Banten, Indonesia berlangsung selama 3 hari bermula 8 hingga 10 Oktober 2019 dengan membawa tema “Bagaimana Agama dan Pendidikan berinteraksi dengan cabaran dunia masa kini yang semakin kompleks?”. Sebanyak 80 kertas kerja dibentang oleh para cendiakawan dan ahli akademik dari dalam dan luar negara. Turut serta dalam persidangan ini perwakilan dari negara serumpun Malaysia, Thailand, Singapura, Myanmar, Kemboja, Laos, Vietnam dan Timor Leste.

Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dalam pembentangan kertaskerja