PENGAJIAN PERBANKAN DAN KEWANGAN ISLAM UNISSA UNGGUL DI PERSADA GLOBAL

16 September 2019, Cape Town, Afrika Selatan – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menerima pencalonan dari Cambridge International Finance Advisor (IFA) United Kingdom sebagai calon yang akan dinilai untuk menerima Global Islamic Finance Award (GIFA) 2019 bagi kategori GIFA Market Leadership Award 2019 (Education in Islamic Banking and Finance) bersama tiga pencalonan institusi lain bagi anugerah yang sama.
GIFA – yang diasaskan oleh Edbiz Corporation pada tahun 2011 – adalah salah satu anugerah paling berprestij dan dihormati dalam dunia perbankan dan kewangan Islam global. Anugerah GIFA ini dianugerahkan kepada kerajaan, institusi, dan individu yang telah menunjukkan pencapaian cemerlang dalam menyumbang kepada kemapanan bidang perbankan dan kewangan Islam sebagai sebuah sistem yang berdaya maju di arena global. Pada setiap tahun, Jawatankuasa Anugerah GIFA mengiktiraf institusi dan individu dari seluruh pelosok dunia atas sumbangan luar biasa mereka kepada pembangunan bidang tersebut.
Pencalonan UNISSA dalam GIFA ini merupakan satu pengiktirafan besar industri global terhadap pencapaian UNISSA dalam pembangunan dan pengembangan pengajian bidang perbankan dan kewangan Islam yang diterajui oleh Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm), UNISSA. Pencalonan ini juga menunjukkan bahawa UNISSA – sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan – adalah setanding dengan IPT antarabangsa lainnya yang berpotensi besar menerajui pengajian bidang perbankan dan kewangan Islam di peringkat global.
Setelah penilaian dibuat, ternyata pengajian bidang perbankan dan kewangan Islam UNISSA disahkan unggul apabila dinobatkan sebagai pemenang yang menerima anugerah berprestij global tersebut. Majlis penyampaian anugerah telah diadakan pada 16 September 2019, di hotel lima bintang The Westin Cape Town, Afrika Selatan. Hadir bagi menerima anugerah tersebut ialah Yang Mulia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor UNISSA dan Yang Mulia Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, Dekan FEKIm UNISSA. Penerimaan anugerah tersebut merupakan satu pencapaian ulung FEKIm yang setentunya akan menaikkan nama UNISSA agar lebih dikenali di persada global di samping menarik minat lebih ramai pelajar antarabangsa untuk mengikuti pengajian di FEKIm UNISSA, selain menaikkan lagi nama Negara Brunei Darussalam dalam senarai ranking dalam bidang perbankan dan kewangan Islam khasnya dalam Laporan ICD-Thomson Reuters.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri-Menteri Kanan, Duta-Duta, Gabenur-Gabenur Bank Pusat, dan orang-orang ternama daripada pelbagai negara dari seluruh dunia untuk menyaksikan dan meraikan penerima-penerima anugerah GIFA 2019. Dalam majlis tersebut lebih daripada 80 kategori anugerah telah disampaikan kepada institusi dan individu dari 32 buah negara di seluruh dunia. Tuan Yang Terutama Matamela Cyril Ramaphosa, Presiden Republik Afrika Selatan telah dinobatkan sebagai penerima anugerah GIFA Leadership Award 2019.
FEKIm telah ditubuhkan pada tahun 2007 dengan nama Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan (FBMS). Penjenamaan semula FBMS menjadi FEKIm telah disempurnakan pada bulan Oktober 2016 oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Pro Canselor UNISSA.
Pelbagai inisiatif telah dilakukan bagi memastikan FEKIm UNISSA terus relevan sejajar dengan perkembangan dan tuntutan semasa. Bidang pengajian perbankan dan kewangan Islam bukan sahaja ditawarkan di peringkat Ijazah Sarjana Muda, bahkan juga dikembangkan di peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah. FEKIm UNISSA dengan kerjasama Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah membuat penelitian semula kurikulum yang diajarkan bagi memastikan kurus-kursus adalah selari dengan kehendak dan perkembangan semasa industri. Pada tahun 2017, Islamic Banking and Finance Institute of Malaysia (IBFIM) telah mengesahkan bahawa Program Ijazah Sarjana Muda Sains Kewangan Islam yang ditawarkan oleh FEKIm UNISSA adalah komprehensif dan dinilai pada kadar 94% setanding dengan Associate Qualification of Islamic Finance (AQIF) yang ditawarkan oleh IBFIM sendiri.
Dalam menjaga kualiti pengajaran dan pembelajaran, FEKIm UNISSA sentiasa memastikan tenaga akademiknya adalah mereka yang mempunyai kelayakan, pengalaman dan kepakaran yang diperlukan. Sehingga ke hari ini, 50% daripada tenaga akademik FEKIm adalah terdiri daripada pengamal industri.
Sejak penjenamaan semula mengambil tempat, bilangan pelajar yang mengikuti pengajian di FEKIm UNISSA juga dicatatkan semakin meningkat dari setahun ke setahun. FEKIm UNISSA juga dilihat sebagai sebuah destinasi pilihan pelajar antarabangsa yang datang daripada 17 buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Cambodia, Singapura, Pakistan, Tajikistan, Afghanistan, Kyrgyzstan, Tanzania, Zanzibar, Sri Lanka, Maldives, Kenya, Cameroon, Gambia, dan termasuk pelajar-pelajar dari Negara Brunei Darussalam.
Selain pengukuhan dalam bidang akademik, FEKIm juga melatih para pelajarnya untuk menjadi modal insan yang dinamik dan kompeten dalam mendepani arus perdana iaitu menerusi penubuhan persatuan pelajar yang dikenali sebagai Islamic Finance and Economics Students Society (iFESS) pada tahun 2018.
Tambahan itu, bidang penyelidikan juga tidak kurang diberikan perhatian yang serius. Untuk memastikan bidang penyelidikan ini mencapai mutu dan kualiti antarabangsa, pelbagai program penyelidikan telah pun dijalankan oleh FEKIm UNISSA yang terhasil daripada penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) dan Surat Kesepakatan (LoI) dengan beberapa buah industri dan IPT dari dalam dan luar negara. Dalam hal ini, FEKIm UNISSA sering kali mengadakan kuliah umum, ucapan umum, bengkel, seminar, persidangan, perbincangan meja bulat, dan telah beberapa kali diberikan kepercayaan dan penghormatan oleh IPT dan industri untuk menjadi Penganjur Utama dalam beberapa siri seminar, persidangan, dan muzakarah perbankan dan kewangan Islam bertaraf antarabangsa.

