PERBINCANGAN MEJA BULAT WAKAF – UNISSA

perbincangan mejabulat1

Gadong: Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm) dengan kerjasama Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) telah mengadakan Perbincangan Meja Bulat Wakaf (RTDW) sebanyak dua siri, iaitu siri pertama pada 25, 26 dan 28 April 2018 sementara siri kedua pada 9, 10 dan 12 Mei 2018.

 

Hadir dalam siri RTDW tersebut ialah wakil-wakil dari Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Peguam Negara (AGC), Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Tabung Amanah Pekerja (TAP), Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), AMBD, BIBD, TAIB, Universiti Brunei Darussalam (UBD), UNISSA, dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).  Ianya juga turut dihadiri oleh wakil-wakil agensi swasta dan NGOs.

 

Yang Mulia Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, Dekan FEKIm UNISSA, selaku Pengerusi RTDW dalam Ucapan Alu-Aluannya menjelaskan bahawa objektif perbincangan meja bulat tersebut diadakan ialah untuk menyediakan platform yang efektif kepada para ilmuan, pembuat dasar, dan pelaksana membincangkan wakaf dari pelbagai perspektif. Selain bertukar idea dan pandangan serta mencari jalan penyelesaian terhadap isu-isu yang berkaitan dengan pemerkasaan wakaf, RTDW ini juga diwujudkan bagi tujuan menyediakan pelan tindakan bersesuaian yang proaktif dalam mengarusperdanakan wakaf untuk pihak pemegang taruh (shareholders).

 

Sebanyak 11 buah kertas kerja menarik telah dibentang dan dibincangkan oleh para akademik dan pengamal industri tempatan dan juga jemputan dari luar negara iaitu Brunei, Malaysia, Indonesia, dan Singapura. Tajuk-tajuk kertas kerja yang telah dibentangkan ialah mengenai “Wakaf dan Peruntukan Undang-Undang Dalam Perintah Akta Majlis Ugama Islam Penggal 84: Peranan dan Potensinya Masa Kini”, “Pengenalan dan Sejarah Wakaf di Indonesia”, “Isu Tanah Wakaf di Negara Brunei Darussalam”, “Isu Harta Wakaf Dari Perspektif Perakaunan dan Kewangan”, “Cabaran Pengembangan Harta Wakaf”, “Cabaran Pengembangan Harta Wakaf: Pengalaman Waqaf An-Nur Corporation Berhad Malaysia”, “Hala Tuju Wakaf Mencapai Wawasan 2035”, “Waqf as Alternative funding to Achieve Brunei Vision 2035”, “Pemerkasaan Harta Wakaf”, “Tadbir Urus Wakaf di Singapura”, dan “Wakaf di Malaysia: Pengurusan Wakaf Oleh Yayasan Waqaf Malaysia”.

 

Inisiatif UNISSA dan AMBD dalam mengadakan RTDW ini telah mencapai sasaran objektifnya apabila berhasil mewujudkan satu cadangan pelan tindakan memperkasa dan mengarusperdanakan wakaf sebagai salah satu mekanisme kewangan Islam yang unggul dan penting dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035, sama ada dalam jangka masa pendek, sederhana, dan panjang.

 

Berkesudian hadir dalam salah satu siri pembentangan dan perbincangan kertas kerja RTDW tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Awang Haji Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah AMBD. Juga turut hadir dalam siri yang berasingan ialah Yang Mulia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor UNISSA bersama Pegawai-Pegawai Eksekutif UNISSA yang lainnya.

 

perbincangan mejabulat1

 

perbincangan mejabulat2

 

perbincangan mejabulat3

Attachment

Related News