Perlaksanaan Hukum Syariah Pengukuh MIB

2.5

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 17 April. –  Melayu Islam Beraja (MIB) merupakan identiti orang Melayu Brunei yang sudah lama diperjuangkan sehingga ke hari ini.

Perkara tersebut merupakan antara inti pati Kuliah Khas bertajuk Perlaksanaan Hukum Syariah Pengukuh MIB oleh Yang Amat Arif / Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syari’e, Negara Brunei Darussalam pada sesi kuliah khas bagi Kursus MIB Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Sesi 2018 / 2019 (Semester 2) berlangsung di Dewan Auditorium, UNISSA, Gadong.

Yang Amat Arif Yang Berhormat juga menjelaskan bahawa dengan melaksanakan hukum syariah di Negara Brunei Darussalam ia membuktikan bahawa Brunei sebagai sebuah negara Islam yang akan sentiasa mengangkat tinggi kedudukan Islam. Selain itu juga, Yang Amat Arif Yang Berhormat juga menjelaskan bahawa melaksanakan segala perintah Allah yang terkandung dalam al-Qur’an akan membawa keadilan dan keharmonian kepada kehidupan bermasyarakt di Negara Brunei Darussalam. Dalam kuliah tersebut juga, Yang Amat Arif Yang Berhormat juga menjelaskan dengan terperinci apa yang dimaksudkan dengan hukum syariah.

Kuliah Khas MIB anjuran Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), UNISSA itu telah dipengerusikan oleh Timbalan Rektor, Dr Hj Muhammad Hussain bin Pehin Penyurat Hj Ahmad

Kursus MIB adalah kursus yang ditawarkan kepada mahasiswa / mahasiswi Tahun 1, UNISSA yang dikategorikan sebagai Kursus Wajib Universiti.  Dalam keberhasilan Kursus MIB ini, mahasiswa / mahasiswi diharap akan memahami konsep MIB dengan lebih dalam dan luas serta  menjadikan MIB sebagai pegangan cara hidup dalam menghadapi gelombang moden dan arus globalisasi.

Hadir sama mendengarkan Kuliah Khas tersebut ialah Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal, Pegawai-Pegawai Utama UNISSA , pegawai-pegawai dan staff UNISSA.