Program Minal Jami’ah Ilal Masjid Hari Khamis, 12 Disember 2019 Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kg Bolkiah anjuran Unit Kebajikan & Kemasyarakatan, Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Islam Sultan Sharif Ali

MINAL 7

12 Disember 2019, Khamis – Masjid adalah salah sebuah institusi ibadah yang penting dalam pembangunan masyarakat Islam. Masjid berfungsi sebagai pusat komuniti yang menyatukan setiap lapisan masyarakat melalui  aktiviti keugamaan, ilmiah, pembentukan akhlak dan sebagai pusat kegiatan yang bermanfaat dan menyumbang kepada pembangunan Ummah. Oleh itu, adalah penting bagi belia untuk turut menyumbang kepada usaha mengimarahkan masjid.

Ke arah tujuan ini, baru-baru ini Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Unit Kebajikan dan Kemasyarakatan, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) ini telah menganjurkan Program Minal Jami’ah Ilal Masjid bertempat di Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kg Bolkiah sebagai wadah bagi pelajar UNISSA untuk membina ukhuwwah di antara pelajar dan masyarakat dan seterusnya sama-sama bergiat aktif di masjid.

Program ini juga merupakan salah satu acara dan aktiviti bagi Day of Action 2019 sempena sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa 2019.

Seramai 38 orang pelajar UNISSA dan 21 orang peserta kanak-kanak dan belia telah menjayakan program tersebut yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 8.00 malam.

Di antara pengisian program yang berformat day camp atau perkhemahan sehari di masjid itu ialah kempen kebersihan masjid dan kawasan sekitarnya, sembahyang berjemaah, aktiviti kepimpinan, pertandingan dan persembahan skesta Islamik, perlumbaan Amazing Race yang menguji pengetahuan peserta mengenai pergerakan dan bacaan sembahyang, wudhu, sejarah Islam dan sirah nabi serta hafazan surah dan doa.

 

Satu tazkirah turut disampaikan oleh Dr. Haji Ahmad Asri Lubis, Penolong Pensyarah Fakulti Bahasa Arab, UNISSA bertajuk “Istighfar Aset Kekayaan Mukmin” menekankan kepentingan bagi belia untuk mempunyai nilai-nilai murni sebagai belia mukmin yang produktif melalui penggunaaan kalimah istighfar dalam kehidupan seharian.

Program ini dihasratkan untuk diteruskan di masjid-masjid yang lain dengan menampilkan pengisian yang berbeza yang bersesuaian dengan kumpulan sasaran di dalam masyarakat.

Awang Sh’minan bin Awg Hj Sulaiman, Pegawai Hal Ehwal Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kg Bolkiah dan Awang Abdul Rahim bin Hj Md Arsat, EXCO Unit Kebajikan dan Kemasyarakatan, MPP UNISSA

 

 

 

Attachment