PROGRAM MOBILITI AKADEMIK DAN KHIDMAT MASYARAKAT KE-2 (MALAYSIA)

USIM

PROGRAM MOBILITI AKADEMIK DAN KHIDMAT MASYARAKAT DI MALAYSIA

HARI/TARIKH:

10-19 MUHARRAM 1441H/10-19 SEPTEMBER 2019

 

TEMPAT:

MALAYSIA

 

 

 

Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), melalui Fakulti Bahasa Arab (FBA), telah memilih Malaysia sebagai destinasi ke-2 bagi mengadakan Program Mobiliti Akademik dan Khidmat Masyarakat yang mana sebelum ini diadakan di Jawa Timur, Indonesia, pada Mac lepas. Pelbagai aktiviti telah dirancang untuk membuka ruang kepada para tenaga akademik dan pelajar FBA untuk berkongsi dan menambah ilmu dan pengalaman di institusi pengajian tinggi (IPT) luar negara.

Rombongan FBA telah membuat lawatan rasmi ke enam buah universiti di Malaysia. Antaranya ialah Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dan Universiti Putra Malaysia (UPM). Program ini telah berlangsung selama 10 hari, bermula 10 hingga 19 September 2019, di mana ia telah diketuai oleh Dekan Fakulti Bahasa Arab bersama 8 orang tenaga akademik dan 13 orang mahasiswa dan mahasiswi.

Program ini bermula dengan Seminar Bahasa Arab Asia Tenggara kali ke-3 yang dianjurkan bersama oleh UNISSA, UNISZA dan empat buah IPT lain. Seminar yang telah berlangsung selama dua hari ini merupakan platform kepada para tenaga akademik dan pelajar untuk membentangkan kertas kerja dan berbincang mengenai isu-isu yang berkaitan dengan kurikulum dan pengajaran bahasa Arab di peringkat serantau.

Program ini diteruskan lagi dengan lawatan ilmiah dan khidmat masyarakat di lima buah universiti, di mana rombongan FBA telah berpeluang untuk mengenali sistem pengajaran dan pembelajaran di institusi-institusi tersebut, di samping menguatkan lagi ukhuwwah antara universiti di rantau ini. Program ini juga membuka ruang kepada tenaga akademik dan pelajar untuk memperluaskan lagi rangkaian kerjasama khususnya dalam bidang penyelidikan dan peluang penerbitan di dalam jurnal-jurnal yang berkualiti dan berimpak tinggi. Ini sejajar dengan gagasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah Baginda baru-baru ini dalam Majlis Hafl Al-Takharruj UNISSA kali ke-9:

“Bagi UNISSA, buktikanlah ianya cemerlang. Wujudkan kriteria kecemerlangan melalui kerja-kerja akademik oleh para pensyarah dan penuntut, dengan melazimkan rajin menulis, seperti buku atau kajian atau artikel-artikel ilmiah, dan menghantar tulisan-tulisan tersebut ke Journal-Journal antarabangsa”.

Di samping itu, para pelajar telah berpeluang untuk bergiat aktif dalam aktiviti khidmat masyarakat menerusi “Program Eksplorasi Bahasa Arab” dengan mengadakan sesi kongsisama dan permainan bahasa Arab. Program ini bertujuan untuk membincangkan teknik pembelajaran yang berkesan dan meninjau sejauh mana tahap kemahiran bahasa pelajar. Di samping itu, program ini dapat melatih pelajar untuk mempraktikkan ilmu dan kemahiran bahasa mereka dan dalam waktu yang sama dapat menggilap sifat kepimpinan dan kerja berkumpulan.

Antara aktiviti lain ialah melawat fasiliti-fasiliti yang terdapat di institusi-institusi tersebut seperti perpustakaan, kedai buku, pusat penerbitan, dan sebagainya. Diharapkan program sebegini akan berterusan dan dikembangluaskan pada masa hadapan  agar  institusi-institusi di rantau ini dapat berganding bahu khususnya dalam memperkasa penggunaan bahasa Arab dan mengadakan kerja-kerja kemasyarakatan yang memberikan impak yang positif kepada masyarakat di rantau ini.

 

Lawatan rombongan FBA ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) Terengganu

 

Lawatan rombongan FBA ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

 

Lawatan rombongan FBA ke Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya (UM)

 

Lawatan rombongan FBA ke Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Lawatan rombongan ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

 

Lawatan rombongan FBA ke Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

 

Attachment