Program: Syabab al-Khairat Tema: “One Call To Rising Ummah”

ummah 3

TUTONG,- Seramai 21 orang mahasiswa dan mahasiswi Tahun 2 dari Fakulti Usuluddin mengadakan Program Syabab al-Khairat bertempat di Balai Ibadat Hajah Aminah, Kampong Long Mayan, Daerah Tutong. Program yang bertemakan ‘One Call to Rising Ummah’ merupakan anjuran bersama Fakulti Usuluddin UNISSA dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dengan kerjasama Pusat Da`wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Program ini diadakan selama dua hari dan satu malam bermula dari 9 Disember hingga 10 Disember 2019. Seramai 38 orang peserta belia-belia dari Kampung Long Mayan, Kampung Benutan dan persekitarannya menyertai program ini. Program ini adalah ungkayah dan usaha para pelajar daripada Fakulti Usuluddin untuk menyumbang bakti kepada masyarakat di samping mengasah daya kepimpinan mereka.

Antara objektif program ini adalah bagi membentuk satu budaya masyarakat yang berkualiti, cergas dan sihat serta mewujudkan semangat untuk mengembangkan ajaran Islam. Di samping itu, ia bertujuan untuk mendedahkan mahasiswa dan mahasiswi dengan aktiviti berdakwah dan secara tidak langsung akan dapat melatih mereka meningkatkan ilmu dakwah dan mempraktikkan apa yang dipelajari di dalam kuliah.

Program pada pagi berkenaan diisi dengan sebuah forum yang membawakan tajuk “Al-Qur’an Penyuluh Kehidupan”. Hadir bagi memeriahkan program pada pagi berkenaan ialah Pemangku Pengarah Pusat Da’wah Islamiah; Yang Mulia Ustaz Abdul Aziz bin Hj Kahar dan Ketua Kampong Long Mayan; Yang Mulia Muhd Eddy Suffian bin Abdullah serta tenaga akademik Fakulti Usuluddin dan pegawai-pegawai daripada Pusat Da‘wah Islamiah.

Program yang melibatkan para remaja dan belia ini disambung lagi dengan pelbagai aktiviti yang diterajui oleh para mahasiswa dan mahasiswi Fakulti Usuluddin seperti kuiz agama, bengkel wudhu dan aktiviti kerohanian lain yang menyumbang kepada pemerkasaan pengetahuan dan penghayatan para peserta terhadap keindahan agama Islam.

Program yang berlangsung selama dua hari diteruskan dengan aktiviti qiyamul lail dan seterusnya bengkel melaksanakan solat dengan betul. Para peserta juga bergotong royong melakukan kempen kebersihan di sekitar Balai Ibadat Hajah Aminah iaitu tempat berlangsungnya program ini.

 

 

 

Para peserta Program Syabab al-Khairat dan mahasiswa-mahasiswi Tahun 2 dari Fakulti Usuluddin, UNISSA bergambar ramai dengan Yang Mulia Ustaz Abdul Aziz bin Hj Kahar, Pemangku Pengarah Pusat Da’wah Islamiah; Yang Mulia Muhd Eddy Suffian bin Abdullah, Ketua Kampong Long Mayan; tenaga akademik Fakulti Usuluddin dan pegawai-pegawai daripada Pusat Da‘wah Islamiah.

 

Forum yang bertajuk “Al-Qur’an Penyuluh Kehidupan” disampaikan oleh pelajar Fakulti Usuluddin.

 

 

Attachment