PROGRAM MOBILITI AKADEMIK DAN KHIDMAT MASYARAKAT (JAWA TIMUR, INDONESIA)

3

Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Bahasa Arab (FBA) sentiasa bergerak aktif dalam merancang apa juga projek atau aktiviti yang menjurus kepada kecemerlangan akademik, peningkatan kemahiran bahasa Arab dan jati diri pelajar. Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan bagi merealisasi tujuan tersebut antaranya ialah Festival Bahasa Arab, Seminar, Explorasi Bahasa Arab dan sebagainya. Walaubagaimanapun aktiviti ini hanya tertumpu kepada penglibatan mereka di dalam negeri.

Dalam hal ini, FBA telah melaksanakan sebuah program mobilti yang mencakupi bidang akademik dan khidmat masyarakat yang diungkayahkan bagi membuka peluang dan ruang kepada pelajar bukan sahaja untuk menjalinkan silaturahim antara mereka bahkan akan dapat mencipta “rangkaian” kerjasama dengan pelajar-pelajar IPT luar negara.

Untuk kali pertama ianya diadakan, FBA telah memilih lima buah universiti di Jawa Timur sebagai destinasi ilmiah iaitu Universitas Islam Darussalam (UNIDA) Gontor, Universitas Islam Negeri (UIN) Maulana Malik Ibrahim Malang, UIN Malang (UNISMA), Universitas Negeri Malang (UM) dan UIN Sunan Ampel Surabaya.

Program tersebut bermula pada 21 hingga 28 Mac 2019.

Antara perisian program tersebut ialah perbincangan dua hala, seminar antarabangsa, diskusi ilmiah, sesi kongsisama, explorasi bahasa Arab, khidmat masyarakat dan kunjungan ilmiah. Program ini melibatkan tenaga akademik dan pelajar FBA.

Rombongan ini diketuai oleh Prof Madya Dr Siti Sara binti Haji Ahmad, Dekan Fakulti Bahasa Arab. Rombongan ini terdiri daripada 12 orang iaitu 4 orang tenaga akademik dan 8 orang pelajar Sarjana Muda dan pasca ijazah.
Seminar antarabangsa ini memfokuskan kepada Cabaran Pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab di Era Industri 4.0. Manakala diskusi ilmiah dan sesi kongsisama pula menyentuh mengenai teknik dan strategi menguasai kemahiran bahasa Arab. Explorasi Bahasa Arab dan khidmat masyarakat pula tertumpu kepada beberapa buah pasentren dengan membantu mereka mepraktikkan bahasa Arab menerusi pelbagai jenis permainan bahasa. Hasil daripada program ini, pelajar akan dapat memanfaatkan pengalaman dan ilmu yang mereka pelajari, dan dalam waktu yang sama dapat meningkatkan lagi kecemerlangan mereka dalam bidang akademik serta memupuk nilai dan jati diri yang cemerlang.

 

YM Prof Madya Dr Siti Sara binti Haji Ahmad, Dekan Fakulti Bahasa Arab bersama rombongan dalam sesi seminar antarabangsa

 

 

Kunjungan ke UIN Malang (UNISMA)

 

 

Rombongan berada di Universitas Islam Negeri (UIN) Maulana Malik Ibrahim Malang

Attachment