MAJLIS PENANDATANGANAN MEMORANDUM PERSEFAHAMAN ANTARA UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI (UNISSA) DENGAN UNIVERSITAS ISLAM RIAU (UIR), INDONESIA

Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara UNISSA dan UIR

MAJLIS PENANDATANGANAN

MEMORANDUM PERSEFAHAMAN ANTARA

 UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI (UNISSA) DENGAN

 UNIVERSITAS ISLAM RIAU (UIR), INDONESIA

 

HARI SABTU, 13 JULAI 2019M

 

 

Bandar Seri Begawan: Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah  mendapat perhatian negara luar negara khususnya daripada Republik Indonesia untuk berkolaborasi dalam bidang pendidikan. Perkara ini terbukti dengan termeterainya penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara UNISSA dengan Universitas Islam Riau (UIR), Indonesia yang telah berlangsung pagi tadi di Bilik Senate, UNISSA Gadong.

 

Menandatangani bagi pihak UNISSA ialah Yang Mulia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor UNISSA, manakala bagi pihak UIR, Indonesia pula ditandatangani oleh Rektor universiti berkenaan, Prof. Dr. H. Syafrinaldi, SH. MCI.

 

Sebelum upacara penandatanganan MoU, Yang Mulia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor UNISSA, terlebih dulu mengalu-alukan kedatangan delegasi dan berharap bahawa dengan termeterainya penandatanganan MOU itu akan dapat menjalinkan lagi hubungan kerjasama yang boleh diterokai dalam bidang-bidang yang tertentu seperti pertukaran pelajar dan tenaga akademik, penyelidikan dan kerjasama seminar. Walau pun UNISSA masih berada pada kedudukan kampus sementara namun UNISSA akan terus giat berganding bahu bersama institusi pengajian tinggi luar negara untuk memajukan sistem pendidikan dan pengajian Islam di peringkat antarabangsa. Dalam usaha ini, UNISSA akan menerokai bidang baru yang boleh meningkatkan lagi kredibiliti program-program yang sedia ada demi meningkatkan kemajuan ugama, bangsa dan negara.

Rektor Universitas Islam Riau (UIR) dalam ucap balasnya pula amat berterima kasih kepada UNISSA atas penerimaan sebagai rakan kongsi dalam bidang perkembangan ilmiah dan menjelaskan bahawa UIR dan UNISSA adalah mempunyai aliran fahaman yang sama dalam mendukung kemajuan pendidikan Islam. Rektor UIR menyuarakan hasrat untuk bekerjasama secara formal dengan UNISSA dan bersetuju perlunya ada kesefahaman dalam melaksanakan kegiatan-kegiatan akademik dengan adanya pertukaran mahasiswa atau pertukaran pensyarah dan juga kolaborasi penyelidikan.

 

Hadir menyaksikan penandatangan MOU tersebut adalah Pemangku Timbalan Rektor UNISSA, Yang Mulia Dr Arman bin Haji Asmad, dan seramai 4 orang delegasi daripada UIR.

 

Gambar Ramai UNISSA dan UIR

 

 

Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara UNISSA dan UIR

Attachment