ULAMA DIGESA PUPUK PERPADUAN UMMAH

menghadiri_majlis

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis 13 Disember. – Para ulama dan cendikiawan muslim diingatkan, tugas mereka adalah menyatukan kaum muslimin, dalam hal menyebarkan nilai-nilai sikap seimbang (wasathiyyah), nilai-nilai ikatan persaudaraan (ukhuwwah), serta menjauhi sikap permusuhan dan perselisihan.

 

Mereka juga disarankan untuk membentengi umat dari perpecahan dan juga menjauhi bersikap ekstrim dalam beragama.

 

Perkara ini telah ditegaskan oleh Kebawah DYMM Raja Salman bin Abdul Aziz al-Sa’ud, Raja Arab Saudi menerusi titah yang telah dibacakan oleh DYTM Putera Khaled al-Faisal, Gabenur Kota Suci Makkah dalam Majlis Perasmian Persidangan Islam Antarabangsa yang berlangsung selama dua hari bermula pada 12 sehingga 13 Disember di Kota Suci Makkah Mukarramah.

 

Persidangan Islam Antarabangsa ini dianjurkan oleh Liga Dunia Islam (Rabitah ‘Alam Islamiy) dengan membawa tema ”Perpaduan Islam: Risiko Pengklasifikasian dan Pengecualian”.

 

Persidangan ini dianjurkan dengan tujuan untuk membincangkan dan melaksanakan langkah-langkah strategik dalam menangani permasalahan aliran mazhab dan pemikiran dalam Islam. Selanjutnya diharapkan akan menjadi  wadah perbincangan antara mazhab untuk melahirkan rasa saling percaya, memahami serta saling membantu dan bekerjasama secara berterusan.

 

Persidangan ini telah dihadiri oleh Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal selaku perwakilan dari Negara Brunei Darussalam bersama-sama dengan 1,299 Ulama dan cendikiawan muslim dari 127 negara seluruh dunia. Persidangan ini diselenggarakan atas dukungan penuh Kebawah DYMM Raja Salman bin Abdul Aziz, Penjaga Dua Kota Suci.

 

Turut hadir juga selaku perwakilan Negara Brunei Darussalam, Timbalan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin dan Pemangku Ketua Istinbat, Jabatan Mufti Kerajaan, Awang Haji Abd. Rahman bin Pengarah Haji Mokti. Juga hadir semasa majlis perasmian ialah Pemangku Konsul Agung Brunei Darussalam di Jeddah, Pengiran Haji Irman bin Pengiran Haji Othman.

 

YM Rektor UNISSA dalam Majlis Perasmian Persidangan Islam Antarabangsa

 

Attachment

Related News