UNISSA ADAKAN PROGRAM LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE LUAR NEGARA – JAKARTA INDONESIA

lawatan belajar ke jakarta

Bandar Seri Begawan – Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) buat kali kedua telah mengadakan Program Lawatan Sambil Belajar ke Luar Negara. Kali pertama program seumpamanya diadakan ialah pada tahun 2016 ke Kuala Lumpur. Pada tahun ini, Program Lawatan Sambil Belajar ke Luar Negara telah diadakan di Jakarta, Indonesia mulai 18 hingga 23 September 2018M.

 

Seramai 33 orang peserta yang terdiri daripada empat orang pensyarah, seorang kakitangan dan 26 pelajar tahun tiga Program Ijazah Sarjana Muda Sains Kewangan Islam (BScIF) dan Program Pengurusan Perniagaan (BBM), FEKIm UNISSA menyertai program tersebut. Turut sama menyertai rombongan ialah seorang Pegawai pengurus latihan dari Center for Islamic Banking, Finance and Management (CIBFM) dan seorang Pegawai dari Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD). Program Lawatan Sambil Belajar ke Luar Negara yang mendapat sokongan CIBFM ini telah diketuai oleh Yang Mulia Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, Dekan FEKIm UNISSA.

 

Tujuan program tersebut diadakan ialah untuk mengeratkan hubungan sillaturahim sesama warga FEKIm, menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman baru serta meningkatkan tahap keyakinan diri tiap-tiap orang pelajar FEKIm khasnya sebagai kelengkapan dan persiapan diri meneroka alam pekerjaan sebenar. Dalam masa yang sama, program ini juga dijadikan sebagai wacana yang dapat memperkenalkan FEKIm khasnya dan UNISSA amnya ke peringakat serantau di samping meneroka peluang-peluang kerjasama yang dapat dilakukan antara UNISSA dan pihak-pihak yang berkaitan.

 

Program Lawatan Sambil Belajar ke Luar Negara pada tahun ini telah memfokuskan lokasi lawatannya di Jakarta Pusat dengan membawa tiga tema lawatan iaitu, Ekonomi Islam, Kewangan Islam, dan Pengurusan Perniagaan. Tempat-tempat yang dilawati ialah Badan Amil Zakat Nasional (BAZNAS), Bank Syariah Mandiri (BSM), Kementerian Sosial Republik Indonesia (KEMSOS), Universitas Islam Negeri (UIN) Sharif Hidayatullah, Dompet Dhuafa (DD), Bursa Efek Indonesia (BEI), dan Asosiasi Dana Pensiun Indonesia (ADPI).

 

Melihat kepada kepentingan untuk membina kecemerlangan dan profesionalism yang tinggi daripada kalangan pelajar dan juga para pensyarah menerusi pendedahan praktikal secara langsung dari industri pengamal dalam bidang yang berkaitan, maka Program Lawatan Sambil Belajar ke Luar Negara ini dilihat sangat relevan dan signifikan untuk diteruskan sebagai program tahunan FEKIm UNISSA.

 


Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani,
Dekan FEKIm UNISSA dalam sesi pertukaran cenderamata semasa mengadakan lawatan ke Dompet Dhuafa.

 


Rombongan FEKIm UNISSA bergambar ramai semasa mengadakan lawatan ke UIN Syarif Hidayatullah.

 


Rombongan FEKIm UNISSA bergambar ramai semasa mengadakan lawatan ke Bank Syariah Mandiri.

 


Rombongan FEKIm UNISSA bergambar ramai semasa mengadakan lawatan ke BAZNAZ.

 


Rombongan FEKIm UNISSA bergambar ramai semasa mengadakan lawatan ke BEI.

 

Rombongan FEKIm UNISSA bergambar ramai semasa mengadakan lawatan ke ADPI.

 


Rombongan FEKIm UNISSA bergambar ramai di ruang perlepasan Lapangan Terbang Antarabangsa, Brunei.

Attachment

Related News