UNISSA GABUNGKAN 4 UNIVERSITI SERANTAU

Rakan Strategik Empat Universiti

Bandar Seri Begawan, 7 November 2019:-

Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) hari ini telah mencapai kesepakatan dengan 4 (empat) buah universiti dari Malaysia, Indonesia, dan Filipina setelah mengadakan perbincangan mengenai Consortium of Islamic Institutions Of Higher Learning For Academic Quality And Research Advancement (i-IQRA) / Konsortium Institusi Pengajian Tinggi Islam untuk Kualiti Akademik dan Kemajuan Penyelidikan (i-IQRA).

Pertemuan dan perbincangan yang telah diadakan di bilik Senate, UNISSA ini telah dihadiri oleh pemimipin-pemimpin tertinggi terdiri daripada Rektor UNISSA Yang Mulia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Vice Chancellor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Yang Berbahgia Prof. Dr. Mohamed Ridza Wahiddin, Rektor Universitas Darussalam (UNIDA) Gontor Indonesia Prof. Dr. Amal Fathullah Zarkasyi, M.A dan Setiausaha Majlis University Mindanao State University (MSU) Filipina Mr. Usman Aragasi.

Konsortium ini adalah untuk memperkukuh hubungan intelektual antara ahli dengan mewujudkan rangkaian di kalangan universiti, institusi penyelidikan dan pusat kecemerlangan dalam Pengajian Islam.

Konsortium ini juga sebagai platform kerjasama yang jitu antara universiti dalam melaksanakan program-program yang dirancang khususnya dalam pengendalian Seminar Institusi Pengajian Tinggi Islam (SeIPTI).

YM Rektor UNISSA, dalam ucapan alu-aluan menjelaskan bahawa UNISSA akan terus berganding bahu dan memberikan sokongan apa jua program-program yang berbentuk kemaslahatan dan kebajikan umat Islam yang melibatkan institusi Pengajian Islam serantau. Kepercayaan yang diberikan kepada UNISSA selaku Tuan Rumah SeIPTI 2019 adalah amat bermakna dalam mengukuhkan jaringan kerjasama strategik.

Objektif i-IQRA adalah untuk menggalakkan universiti dan institusi penyelidikan untuk melangkah keluar dari peranan konvensional mereka dalam penyelidikan dan pendidikan akademik, bekerja sama dengan institusi lain dan memberikan manfaat praktikal dan ketara kepada masyarakat melalui penyelidikan diterapkan di perumusan dasar.

Dalam perjumpaan tersebut ke semua pemimpin Universiti telah menandatangani Piagam Konsortium i-IQRA dan bersetuju akan mengadakan perjumpaan berikutnya di Universitas Darussalam (UNIDA) Gontor Indonesia pada tahun 2020.

Perjumpaan tersebut juga bersetuju dengan Resolusi SeIPTI 2019 yang telah diadakan selama (2) dua hari 6 hingga 7 November 2019 antara lain iaitu usaha menghasilkan inovasi menerusi penyelidikan Islam berasaskan sains dan teknologi yang diperolehi dalam seminar ini perlulah diteruskan supaya dapat mengembalikan semula kegemilangan Islam dalam mengharungi arus RI 4.0. Kebanyakan penemuan saintifik, teknologi dan ciptaan inovasi hari ini sebenarnya telah diasaskan oleh ilmuan Islam semasa zaman kegemilangan Islam. Sebagai contoh, Ibnu Al-Haitham yang telah mencipta teknologi optik. Penemuan teknologi ini telah memberi inspirasi kepada Rogen Bacon dan Kepler untuk mencipta mikroskop dan teleskop.

Resolusi ini menyatakan bahawa bagi menyokong Pendidikan Tinggi Islam menuju ke arah kecemerlangan di era ini, kolaborasi dalam pelbagai bidang ilmu (multidisciplinary) adalah merupakan satu kelebihan untuk menyediakan lebih banyak pendekatan yang sesuai dan wajar bagi menyelesaikan satu-satu masalah.

Majlis diakhiri dengan meraikan para pemimpin universiti dengan makan tengahari di Resturan Terindak D’seni, Jalan Subok di samping bertukar-tukar pendapat.

 

Rakan Strategik Empat Universiti

 

Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor UNISSA dalam perjumpaa i-IQRA

Attachment