UNISSA KONGSIKAN HALALAN THAYYIBAN

ev.owa3

Khamis, 4 April 2019, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, telah mengadakan siri terakhir perkongsian ilmu iaitu “Halalan Thayyiban Talk” Siri 3 yang bertemakan “Ke arah Membangun Generasi Thayyibun wa Thayyibat” bertempat di Dewan Jubli, UNISSA.

Hadir selaku penceramah jemputan adalah Yang Mulia Ustaz Awang Ahmad Haziq bin Haji Abdul Hamid, Pegawai Ugama Kanan di Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH), Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Seramai 100 orang pelajar termasuk pensyarah-pensyarah dah kakitangan dari Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban dijemput hadir dalam mendengarkan sesi perkongsian tersebut. Sesi perkongsian dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Mohammad Hadisaifullah bin Abdul Rahim, Rais Unit Keugamaan, Halalan Thayyiban Student Society (HTSS).

Yang Mulia Ustaz Awang Ahmad Haziq bin Haji Abdul Hamid memulakan perkongsiannya dengan menyatakan latar belakang dan tanggungjawab BKMH di dalam memantau kemasukkan dan pengeluaran makanan dan produk Halal di Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Kementerian Hal Ehwal Ugama serta Jabatan Perdana Menteri.

Yang Mulia Ustaz juga menerangkan tentang prosedur kemasukan daging halal ke Brunei Darussalam serta permohonan sijil halal bagi setiap rumah penyembelihan tempatan. Yang Mulia Ustaz juga menekankan tentang peranan Pegawai Pemerhati yang dipengerusikan oleh Pengarah Hal Ehwal Syariah; untuk memastikan proses penyembelihan di abattoir negara luar mengikut syarat-syarat yang ditentukan demi menjamin kualiti, kebersihan dan status kehalalan daging tersebut. Manakala proses stunning pula tidak digalakkan kecuali bagi binatang berkaki empat seperti lembu dengan syarat tulang kepala binatang tersebut tidak retak kerana ia boleh dikategorikan haram untuk dimakan.

Kemudian beliau menerangkan jika pemohon gagal untuk memohon sijil halal atau penyalahgunaan logo halal akan dikenakan tindakan.

Pada penghujung sesi, para pelajar dapat berinteraksi dengan sesi soal jawab dengan tetamu kehormat.

Diharap agar sesi perkongsian ini dapat menghasilkan pelajar yang dapat menyumbang kepada perkembangan industri Halal dan dapat meningkatkan kesedaran diantara para pengguna tentang kepentingan produk Halal terutamanya kepada orang awam.

 

Sesi Soal Jawab

 

Penyampaian Cenderahati Kepada Penceramah Undangan

 

Attachment