UNISSA MENERIMA BUKU-BUKU WAKAF DARI SURUHANJAYA TINGGI INDIA

UNISSA MENERIMA BUKU-BUKU WAKAF DARI SURUHANJAYA TINGGI INDIA

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 29 April 2019 – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) hari ini telah menerima sumbangan buku daripada Pesuruhjaya Tinggi India ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Ajaneesh Kumar.

Sejumlah 38 buah buku disumbangkan dan disampaikan sendiri oleh Tuan Yang Terutama Pesuruhjaya Tinggi India yang diterima oleh Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Buku-buku ini meliputi pelbagai topik seperti Kebudayaan, politik, ekonomi, sejarah, tokoh-tokoh terkenal serta beberapa buku akademik.

YM Rektor UNISSA mengucapkan penghargaannya kepada Pesuruhjaya Tinggi atas sumbangan tersebut yang dapat membantu Perpustakaan UNISSA dalam menambah lagi bahan bacaan dan koleksi sebagai rujukan kepada orang ramai khususnya para mahasiswa UNISSA.

Perjumpaan telah diadakan di Pejabat Rektor UNISSA dalam rangka mengeratkan lagi hubungan kerjasama dua hala antara UNISSA dan Suruhanjaya Tinggi India di samping akan mengadakan program-program ilmiah yang merupakan sebahagian daripada usaha berterusan dalam mengukuhkan hubungan antara Negara Brunei Darussalam dan India. Setakat ini UNISSA telah mempunyai hubungan dua hala pendidikan dengan (6) enam buah universiti ternama di India melalui penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU).

Majlis dihadiri sama oleh Timbalan Rektor UNISSA, Yang Mulia Dr Haji Mohammed Hussain Bin Pehin Penyurat Haji Ahmad.

 

Yang Mulia, Pesuruhjaya Tinggi India dan Yang Mulia, Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal.