UNISSA menghadiri persidangan ICBM2019 di Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu

UNISZA

Bandar Seri Begawan, 20 December 2019 – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam telah menghadiri persidangan ICBM2019 yang dianjurkan buat pertama kali oleh Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu, Malaysia dengan kerjasama antara Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm), Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Brunei Darussalam dan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Islam (FEBI), Universiti Islam Negeri Sunan Ampel Surabaya, Indonesia.

Persidangan Antarabangsa mengenai Perniagaan dan Pengurusan 2019 (ICBM2019) selama dua hari iaitu pada 18 dan 19 Disember 2019 bertemakan “Reforming Business Management Towards IR 4.0” bertujuan untuk mengumpulkan para ahli akademik,penyelidik dan pengamal industri untuk saling bertukar pendapat dan berkongsi pengalaman serta dapatan penyelidikan mengenai perkara yang berkaitan dengan perniagaan dan globalisasi.

 

Lebih sembilan puluh kertas telah dibentangkan dan dibahagikan kepada 8 kategori utama iaitu Perakaunan, Kewangan, Ekonomi, Kewangan Islam, Pengurusan, Pengurusan Hospitaliti dan Pelancongan, Pengurusan Risiko dan Takaful dan Isu Kontemporari dalam Methodologi Penyelidikan dan Data Analysis. Setiap sesi pembentangan mempunyai dua orang ahli panel yang akan menilai dan memberikan ulasan serta cadangan untuk menambahbaik kajian tersebut. Disamping empat sesi pembentangan selari terdapat juga pembentangan poster daripada mahasiwa/I UNISZA dan Ucaptama daripada Profesor Dr Mahadzirah Mohamad, Puan Sharifah Musainah Syed Ali dan Dr Zaharudin Abdul Rahman yang memfokuskan mengenai IR4.0.

 

Deligasi UNISSA telah diketuai oleh Timbalan Dekan FEKIm, Dr Muhd Zaki bin Haji Zaini yang juga turut membentangkan kertas kerja bertajuk “The role of Islamic social finance and higher education institutions to sustain the human resource in light of technological enhancement” bersama empat pembentang dari UNISSA iaitu Dr Azme bin Haji Matali dengan kertas  kerja bertajuk “Dinamik Pengurusan Sistem Kewangan Islam Menurut Perspektif Puak Jati Di Brunei Darussalam: Kajian Awal”; Awang Muhd Khairul Hidayatullah bin Haji Basir dengan tajuk “Reformasi Pengurusan Insuran Islam Taib dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0: Tinjauan Awal” dan “Islamic Crowdfunding: Viability for Start-ups, lesson from IsDB Innovate”; Hajah Nur Annisa binti Haji Sarbini dengan tajuk “Global Standardisation on halal certificates: Issues and Challenges” dan Hajah Nurul Nabilah binti Haji Ali membentangkan kertas kerja bertajuk “Internal Financial Control Practices of Mosques in Brunei Muara Districts”. Kelima-lima pembentang daripada UNISSA telah mendapat anugerah pembentang terbaik dalam kategori masing-masing.

 

ICBM akan terus menjadi platform bagi para penyelidik, pengamal dan akademik untuk membentangkan dan membincangkan dapatan, pengalaman dan masalah terkini, serta cabaran praktikal yang dihadapi. Kerjasama tiga buah negara ini akan diteruskan dan diperkuatkan lagi dengan pelbagai aktiviti dan program akademik dan separa akademik pada masa yang akan datang.