UNISSA RAIKAN SAMBUTAN HARI BAHASA ARAB SEDUNIA

Yang Mulia Dr Haji Mohammad Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Pemangku Rektor UNISSA bersama Pensyarah dan Mahasiswa UNISSA

Universiti Islam Sultan  Sharif Ali  (UNISSA) menerusi  Fakulti Bahasa Arab dengan kerjasama Badan Pelajar Fakulti Bahasa Arab telah meraikan sambutan  Hari Bahasa Arab Sedunia.

 

Menurut  Dekan  Fakulti Bahasa Arab, Yang Mulia, Profesor Madya Dr Siti Sara binti Haji Ahmad, Hari Bahasa Arab Sedunia disambut pada setiap 18hb Disember bersempena pemilihan bahasa ini oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu  sebagai salah satu bahasa rasmi pertubuhan tersebut.  Pengiktirafan  bahasa Arab di peringkat  dunia adalah tanda pengiktirafan kepada potensi besar  bahasa Arab sebagai bahasa al-Qur’an, bahasa ibadah, bahasa ilmu dan bahasa ketamadunan dunia. Dalam konteks Negara Brunei Darussalam pula, menurut beliau bahasa Arab mempunyai peranan yang sangat penting dalam mengukuhkan lagi pengamalan  beragama, penghayatan al-Qur’an dan pembelajaran bahasa Arab dalam kapisiti Brunei sebagai Negara Zikir.  UNISSA dalam hal ini, berperanan sangat besar dan signifikan di mana  menerusi  Fakulti Bahasa Arab pelbagai program akademik dan non akademik telah dan sedang dipergiat dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa  sesuai dengan keperluan ugama, bangsa, negara dan masyarakat global.

Sambutan  Hari Bahasa Arab ini juga turut dihayati oleh para pelajar UNISSA. Awang Izzul Afifi bin Haji Kifli, pengerusi Badan Pelajar Fakulti Bahasa Arab telah menyatakan pandangan beliau bahawa sambutan sebegini mampu menjadi penyuntik semangat kepada golongan pelajar terutama pelajar UNISSA untuk mempertingkatkan lagi kemahiran bahasa Arab bukan sahaja dengan mempraktikkannya semasa berada di dalam kelas bahkan juga dengan bergiat aktif dalam mana-mana aktiviti bahasa Arab di peringkat universiti, kebangsaan dan antarabangsa.  Dalam hal ini, badan  dan  Fakulti  sentiasa aktif dalam mempelbagai pendekatan dan penganjuran aktiviti bagi mengilap kemahiran pelajar terutama sekali dalam komunikasi.

Perasmian  sambutan ini telah disempurnakan oleh Yang Mulia Dr Haji Mohammad Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Pemangku  Rektor UNISSA.

Sebanyak empat (4) program dan aktiviti  telah dilancarkan semasa perasmian tersebut  iaitu newsletter Badan Pelajar Fakulti Bahasa Arab (secara atas talian), program “Mari Mempraktik  Bahasa Arab”,  program “Bahasa Arab Menerusi Skype” dan  program “Bahasa Arab Dengan Rakan Sebaya”.  Di samping pelancaran ini, pelbagai persembahan telah diadakan antaranya sesi perkongsian  pengalaman belajar bahasa Arab di dua buah universiti luar negara  iaitu Universiti Sultan Mohammad V di Maghribi dan Universiti Sultan Qaboos di Kesultanan Oman selama dua semeseter pengajian. Program-program  sebegini adalah  antara inisiatif  Fakulti Bahasa Arab  sebagai satu-satunya fakulti yang memfokuskan kepada pengajian bahasa Arab di Negara Brunei Darussalam.

Yang Mulia Dr Haji Mohammad Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Pemangku  Rektor UNISSA bersama Pensyarah dan Mahasiswa UNISSA

 

 

Yang Mulia, Profesor Madya Dr Siti Sara binti Haji Ahmad, Dekan Fakulti Bahasa Arab menyampaikan Cenderahati kepada Yang Mulia Dr Haji Mohammad Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Pemangku  Rektor UNISSA

Attachment