UNISSA RAMADHAN FOOD DRIVE 2019

Ramadhan food drive 1

Mukim Labi, Kuala Belait, 18 Mei 2019:

 

Dalam usaha untuk meraih keberkatan sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Unit Kebajikan dan Kemasyarakatan, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) telah mengendalikan satu projek amal iaitu “Ramadhan Food Drive” bertempat di Mukim Labi, Daerah Belait.

 

Hadir mengetuai rombongan ialah Yang Mulia Penolong Rektor UNISSA, Dr Arman bin Haji Asmad dan seterusnya menyampaikan sumbangan kepada keluarga yang memerlukan.

 

Projek tahunan ini adalah buat kali ke empat diadakan dan pada tahun ini perlaksanaannya adalah di kawasan Mukim Labi, Kuala Belait.

 

Projek amal ini telah dijalankan selama 3 hari 2 malam bermula 16 Mei 2019 dengan menganjurkan beberapa program keugamaan dan kebajikan yang melibatkan pelajar UNISSA dan masyarakat setempat.

 

Projek ini adalah usaha untuk mengumpulkan bantuan kewangan dan makanan asasi selain mengumpulkan sumbangan makanan dan kewangan dari warga UNISSA serta sumbangan luar. Pihak MPP juga telah mengumpulkan dana melalui aktiviti jualan amal semasa acara Bandarku Ceria.

 

Pada tahun ini, bantuan kewangan dan makanan asasi disumbangkan kepada  (17) buah keluarga yang telah dikenal pasti dengan bantuan Ketua Kampung dan masyarakat setempat. Sumbangan tersebut diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu keluarga-keluarga berkenaan dalam menyediakan keperluan keluarga di bulan Ramadhan agar mereka dapat menjalankan ibadah puasa dengan selesa dan sempurna.

 

Seramai 35 orang pelajar UNISSA terlibat dalam menjayakan program ini yang terdiri daripada ahli-ahli MPP UNISSA, ahli-ahli Unit Kebajikan dan Kemasyarakatan serta sukarelawan.

Selain dari menghantar sumbangan dan ziarah mahabbah ke rumah-rumah keluarga yang terpilih, para peserta juga memanfaatkan peluang menginap di Masjid Kampong Labi dan Masjid Mashoor untuk mengeratkan ukhuwwah sesama pelajar dan juga di antara warga kampung.

 

Di antara aktiviti yang dijalankan sepanjang menetap di masjid tersebut ialah sembahyang fardu berjemaah, bacaan Yaasin dan majlis tahlil sekampung, sembahyang tarawih dan tadarus Al-Qur’an.

 

Pengisian program yang padat ini bertujuan untuk memupuk perasaan kasih sayang dan toleransi di antara warga UNISSA dengan masyarakat sekeliling, selain bertujuan memupuk sifat kesukarelawanan dan empati mahasiswa dan mahasiswi UNISSA dalam membantu meringankan beban masyarakat yang kurang berkemampuan, serta sebagai wadah dakwah bagi warga UNISSA kepada masyarakat sekeliling.

 

Turut hadir ialah Dekan Pelajar UNISSA, Dr Supri bin Haji Sudin beserta pegawai-pegawai Bahagian Hal Ehwal Pelajar UNISSA.

 

 

Malam bertadarus bersama para Jemaah Masjid Kampung Labi.

 

 

Yang Mulia Dr. Arman Bin Haji Asmad, Penolong Rektor UNISSA sewaktu memberikan nasihat kepada para peserta

Attachment