UNISSA, UITM MENGANJURKAN 4TH INTERNATIONAL HALAL CONFERENCE 2019 DI OSAKA, JEPUN

o4

Osaka, Jepun. 25 April. – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban bersama-sama dengan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Japan Society for Halal Science and Technology (JAHAS) dengan sokongan Osaka University, Jepun, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menganjurkan 4th International Halal Conference 2019 (INHAC 2019) pada 16-17 Syaaban 1440H, bersamaan 22-23 April 2019M, bertempat di Osaka University, Osaka, Jepun. INHAC 2019 merupakan platfom kepada para penyelidik, ahli akademik serta pihak industri berkongsi maklumat, dapatan penyelidikan serta pengalaman masing-masing dalam industri halal. Selain itu, INHAC 2019 juga menjadi medan perbincangan dan pertukaran maklumat terkini penyelidikan halal bagi memperkasa polisi, strategi dan perancangan sedia ada untuk memajukan industri halal global.

 

Hadir bagi merasmikan persidangan ini selaku tetamu kehormat ialah Tuan Hironori Harimoto, Pengarah Eksekutif Kanan Perhubungan Antarabangsa, Department of Civil and Cultural Affairs, Osaka Prefectural Government. Turut hadir Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Prof Dr Muhamad Rahimi Osman selaku pengerusi INHAC 2019, Prof. Dr. Hisao Tomizawa, Presiden JAHAS dan Professor Dr Eiichi Tamiya, selaku wakil daripada Osaka University.

 

Rektor UNISSA dalam ucapan alu-aluannya, melahirkan harapan agar persidangan ini dijadikan sebagai platform atau peluang yang baik bagi memahami isu-isu yang berkaitan dengan “Halalan Tayyiban” dan perbincangan ilmiah dalam usaha menangani isu-isu berkenaan.

 

INHAC 2019 yang bertemakan “Enhancing Halal Sustainability” mengemukakan empat pembentang ucaptama iaitu Yang Mulia Profesor Dr Azizan Abdullah , Penolong Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, selaku wakil bagi Yang Berbahagia Prof Ir Dr Mohd Azraai Kassim, Naib Canselor UiTM, Professor Dr Quamrul Hassan, Professor di Center for Global Initiatives, Osaka University, Prof. Madya Dr Nurdeng Deuraseh, Pengarah Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, UNISSA dan Yang Berbahagia Dato’ Dr Sirajuddin Suhaimee, Pengarah Sekretariat Majlis Halal Malaysia.

 

Seminar selama dua hari ini disertai oleh 182 orang peserta dan diisikan dengan pembentangan selari daripada pembentang yang datang daripada beberapa buah negara serantau dan antarabangsa. Selain itu, forum bisnes juga diadakan dimana ahli panelnya terdiri dari tenaga akademik dan pengamal industri dari negara Malaysia, Brunei Darussalam dan Jepun.

 

Rektor UNISSA juga berkesempatan mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden Osaka University, Prof Dr Nishio Shojiro dan seterusnya pertemuan dengan pegawai-pegawai eksekutif Osaka University bagi mengukuhkan kerjasama dua hala sedia ada. Osaka University dan UNISSA telah memeterai perjanjian kerjasama (MoU) pada 16 Oktober 2017. Sejak itu, OU dan UNISSA mengadakan pertukaran pelajar dalam bidang halal sains.

 

Attachment