UNISSA’S BOOK CORNER DI UNIVERSITY OF DILI, TIMOR LESTE

Tuan Yang Terutama, Haji Adnan bin Haji Mohd. Ja’afar,

TIMOR LESTE – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melangkah setapak lagi di peringkat antarabangsa melalui perkongsian hasil-hasil penyelidikan dan penerbitan buku-buku ilmiah UNISSA dengan penubuhan UNISSA’s Book Corner di University of Dili (UNDIL), Timor Leste.

 

Usaha ini merupakan satu inisiatif UNISSA bagi mengongsikan bahan terbitan UNISSA untuk simpanan dan rujukan perpustakaan University of Dili. Ianya diharap akan dapat menambah kegiatan intelektual di kalangan pelajar dan tenaga akademik di UNDIL.

 

Majlis Perasmiannya dihadiri oleh Tuan Yang Terutama, Haji Adnan bin Haji Mohd. Ja’afar, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Demokratik Timor-Leste, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Prof Dr Jose Agostinho da Costa Belo Pereira, Rektor UNDIL Timor Leste dan Tuan Arif Abdullah Sagran, Presiden Komuniti Islam Timor Leste. Turut hadir Prof. Madya Dr Hajah Rose binti Abdullah, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Penerbitan UNISSA dan Pegawai-Pegawai Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam Timor-Leste dan UNISSA serta pegawai-pegawai utama UNDIL.

 

Melalui UNISSA’s Book Corner ini, UNISSA telah menyumbangkan sebanyak 316 buah buku-buku terbitan UNISSA. Sumbangan berkenaan telah diserahkan oleh Rektor UNISSA kepada Rektor UNDIL. Buku yang disumbangkan pada majlis tersebut meliputi pelbagai tajuk dan bidang merangkumi sains sosial, ekonomi, budaya, tamadun, pembelajaran bahasa Arab dan lain-lain jurusan yang diterbitkan dalam bahasa inggeris, Melayu dan Arab.

 

Dalam ucapan alu-aluannya, Rektor UNDIL mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas sumbangan buku-buku berkenaan. Pihak UNDIL sangat mengalu-alukan sumbangan berkenaan kerana ianya akan menjadi bahan rujukan terutama bagi pelajar-pelajar jurusan Perhubungan Antarabangsa yang mana negara-negara ASEAN adalah salah satu daripada tajuk yang mereka pelajari termasuklah Brunei Darussalam.

 

Rektor UNISSA pula menyatakan bahawa usaha ini memberi peluang kepada UNISSA untuk mengongsikan bahan terbitan UNISSA ke peringkat antarabangsa dan berharap agar usaha ini akan membuka lebih banyak peluang-peluang kerjasama yang lain antara kedua-dua buah universiti.

 

UNISSA dan UNDIL telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada 17 September 2018 di Negara Brunei Darussalam. UNDIL mempunyai enam buah fakulti dan seramai (8,000) lapan ribu orang pelajar.

 

Dalam pada itu, Rektor UNISSA juga mengadakan kunjungan muhibbah kepada Rektor University National of Timor Leste, Prof Dr Francisco Miguel Martins.

 

Tuan Yang Terutama, Haji Adnan bin Haji Mohd. Ja’afar, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Demokratik Timor-Leste, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Prof Dr Jose Agostinho da Costa Belo Pereira, Rektor UNDIL Timor Leste