info@unissa.edu.bn +673 2462000

PELAJAR UNISSA MENEKANKAN PENTINGNYA PRINSIP HALALAN THAYYIBAN DALAM MEMBUAT PRODUK

Home > News > PELAJAR UNISSA MENEKANKAN PENTINGNYA PRINSIP HALALAN THAYYIBAN DALAM MEMBUAT PRODUK

BEE-SAI NI BUAT DI RUMAH!

 “BISAI~” ujar mereka setiap kali mencuba produk tersebut.

Jika awda sedang mencari penawar semula jadi untuk bibir kering, sakit tekak atau masalah pencernaan, carilah sahaja di dapur awda. Perawatan buatan sendiri (Do-It-Yourself) ini akan membantu mengembalikan kesihatan awda tanpa perlu megeluarkan kos. Bee-sai kan?

 

Honey Bee-Sai

Pada bulan Mei lepas, Dr Zeiad Amjad Aghwan, Ketua Program Siswazah Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, UNISSA, telah mengemukakan satu idea untuk para mahasiswa Master of Halal Science untuk menghasilkan beberapa produk halal sebagai tugasan kursus di semester terakhir pengajian.

 

Setelah melalui proses sumbang saran, para mahasiswa memutuskan untuk membuat dan menghasilkan dua jenis produk yang sangat mudah dan boleh dibuat sendiri di rumah. Dua produk tersebut adalah Skrub Bibir “Honey Bee-sai” dan gula-gula “Honey Bee-sai.”

Objektif di sebalik penghasilan dua produk ini sebenarnya adalah untuk mencari rawatan bagi mengatasi masalah bibir kering, batuk dan gangguan sistem pencernaan. Oleh yang demikian, setelah mendapat persetujuan bersama, para mahasiswa bersetuju untuk menghasilkan produk skrub bibir madu dan gula-gula madu yang berasakan bahan semula jadi, pasti halal dan selamat untuk digunakan. Dengan terhasilnya produk ini, maka tercapailah objektif para mahasiswa iaitu untuk menghasilkan produk yang halal dan thayyib (selamat). Selain itu juga, produk ini dapat menjadi alternatif bagi produk-produk di luar sana yang menggunakan ramuan yang mencurigakan.

 

Produk Honey Bee-sai ini hanya menggunakan bahan-bahan yang halal dan tidak mengandungi MSG atau perasa tiruan. Produk ini adalah sepenuhnya organik dengan harga yang berpatutan dan mudah untuk didapati. Selain itu juga, produk ini dihasilkan dengan sangat dedikasi kerana setiap proses penghasilannya adalah mengikut panduan yang diajarkan dalam Islam.

 

Dari nama kedua produk ini, dapat dilihat bahawa kedua-duanya menggunakan madu sebagai ramuan utama dalam pembuatannya. Madu dipilih sebagai bahan utama kerana berpandukan dari firman Allah SWT di dalam Al-Quran yang menyatakan bahawa di dalam madu adanya penawar bagi manusia. Ini disebutkan di dalam Surah An-Nahl ayat 68-69, yang bermaksud:

 

Dan Tuhanmu telah mengilhamkan kepada lebah: ‘Buatlah sarang-sarang di gunung-ganang, di pohon-pohon kayu dan tempat-tempat yang dibangunkan oleh manusia. Kemudian makanlah daripada berbagai-bagai jenis bunga dan buah (yang engkau sukai) serta laluilah jalan-jalan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkanNya (bagimu).’ Daripada perutnya (lebah) keluar minuman (madu) yang berlainan warnanya, di dalamnya terdapat ubat penyembuh bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat suatu tanda (kebijaksanaan dan kekuasaan Allah) bagi kaum yang (mahu) berfikir.”

 

Di dalam hadis Rasulullah ﷺ juga ada menyebutkan berkenaan dengan madu:

Rasulullah bersabda yang kira-kira bermaksud: “Penyembuhan ada dalam 3 perkara: madu, bekam dan perawatan dengan besi panas. Tetapi saya melarang pengikut saya melakukan rawatan dengan besi panas” (Sahih Bukhari)

 

Daripada ayat dari surah an-Nahl tersebut, Allah menerangkan tentang lebah dan penghasilannya iaitu madu dan daripadanya terdapat penyembuh bagi penyakit manusia. Melalui hadith Rasulullah ﷺ juga menyebutkan tentang madu yang boleh digunakan sebagai ubat untuk menyembuhkan penyakit. Dengan berpandukan kedua sumber ini, ia menguatkan lagi tujuan para mahasiswa untuk menggunakan madu di dalam penghasilan produk mereka.

 

Tujuan membuat produk ini juga untuk mengaplikasikan apa yang telah dipelajari para mahasiwa selama dua semester pengajian, dimana halal hendaklah diselarikan dengan thayyib (baik) seperti mana yang telah dinyatakan di dalam al-Quran, dan ianya perlulah dicapai untuk memastikan setiap produk yang dikonsumsi atau digunakan adalah halal dan selamat untuk manusia. Oleh itu, bahan yang halal dan selamat telah digunakan dalam penghasilan kedua-dua produk ini, iaitu madu asli.

 

Kebaikan /Faedah Honey Bee-sai

Seperti yang kita ketahui, madu merupakan anugerah semula jadi yang mempunyai khasiat yang sangat banyak dan dapat digunakan dalam merawat penyakit. Oleh itu, madu telah digunakan dalam berbagai cara dan ianya bertindak sebagai ubat yang boleh diperolehi di rumah, contohnya untuk melegakan sakit tekak dan batuk. Ini adalah disebabkan sifat anti-oksidan dan anti-mikroba yang tinggi yang mana dapat mencegah dan melawan jangkitan bakteria di tekak. Menurut pendapat ahli saintis, mereka menemui bahawa sifat pekat madu dapat membantu menurunkan kadar asid dalam badan.

 

Mengkonsumsi madu dapat menghilangkan radikal bebas dan juga mengurangkan keradangan pada saluran makanan. Ini menjadikan madu sebagai alternatif terbaik untuk antasid dalam merawan refluks asid. Gula-gula Honey Bee-sai dibungkus dalam saiz yang yang mudah dibawa dan ianya sesuai dimakan pada bila-bila masa yang diperlukan dan di mana sahaja.

 

Bahan utama dalam produk ini adalah Madu Maanggaris. Madu ini didapati daripada lebah madu gergasi yang dipanggil sebagai Apis Dorsata atau juga dikenali sebagai Penyangat Belaing yang mana tinggal di kebanyakkan pokok Maanggaris di perhutanan Brunei.

Madu Maanggaris mempunyai kadar gula yang rendah yang menjadikannya sesuai untuk digunakan oleh mereka yang risau tentang pengambilan gula berlebihan.

Gula-gula Honey (ani) Bee-sai

Skrub Bibir Honey (ani) Bee-sai

 

Idioms and phrases by theidioms.com